Lemas: Remaja ditemukan tersangkut celah batu

Mayat mangsa berjaya ditemui pasukan bomba. - Foto ihsan bomba
Mayat mangsa berjaya ditemui pasukan bomba. - Foto ihsan bomba
A
A
A

MANJUNG - Pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika memancing berhampiran Desa Manjung Point II, Seri Manjung, ditemukan pasukan penyelamat malam tadi.

Mangsa Muhammad Dani Irfan Abu Bakar, 15, dikatakan tergelincir selepas cuba mengambil seliparnya yang terjatuh ke dalam sungai berkenaan semasa memancing bersama tiga lagi rakannya sekitar jam 2 petang semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 2.35 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik mangsa terjatuh ke dalam sungai, rakan-rakannya cuba membantu bagaimanapun mereka tidak berdaya lalu menghubungi bomba untuk meminta bantuan.

"Bomba yang tiba di lokasi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) secara permukaan di air sebelum menerima bantuan daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor dan agensi lain," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Menurut Abdul Azhar, mayat Dani Irfan berjaya ditemui pasukan penyelamat pada jam 8.42 malam tersangkut di celah batu kira-kira 10 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada jam 9.30 malam," katanya.

"Operasi ini melibatkan seramai 18 anggota bomba termasuk PPDA Pulau Pangkor, empat penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia dan 13 anggota polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!