'Tindakan Zahid tepat tapi agak terlambat'

Prof Madya Dr Jeniri Amir
Prof Madya Dr Jeniri Amir
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat sementara waktu dan menyerahkan tugas kepada timbalannya Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai suatu tindakan yang tepat tetapi agak terlambat, kata Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir.

Jeniri berkata sepatutnya dari dahulu lagi iaitu sewaktu pemilihan Presiden, ahli Umno sudah membuat suatu pemilihan yang tepat, tetapi kita hairan dan saya sendiri hairan mereka (ahli Umno) memilih Ahmad Zahid yang terjebak dengan pelbagai skandal.

“Perwakilan tahu kontroversi yang menjebak Zahid, tetapi mereka tetap memilih beliau. Apa-apa pun tindakan beliau menyerahkan tugas kepada timbalannya mengambarkan beliau responsif kepada suara akar umbi.

"Jadi ia suatu tindak balas yang wajar. Tetapi bukan bermakna dengan tindakan itu (berehat) maka akan dapat menyelamatkan UMNO kerana kedudukan UMNO sudah terlalu parah. Tanpa Zahid pun, UMNO sudah terlalu parah,'' katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Jeniri mengumpamakan ia seperti sebuah kapal besar yang bocor dan tidak mampu diselamatkan kerana air sudah banyak masuk dengan penumpang-penumpang dalam kapal itu tidak berani melompat ke dalam lautan tanpa melihat cahaya daripada kapal lain yang lalu di "Terdapat dua buah kapal yang nak lalu di situ iaitu kapal PKR dan Bersatu. Jadi tindakan mereka itu sebenarnya lebih untuk menyelamatkan diri mereka daripada terus tenggelam," kata Jeniri.

Jeniri yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak berkata alasan yang diberikan iaitu kepemimpinan Ahmad Zahid yang tidak ada haluan, sekadar satu alasan dan alasan itu sangat lemah. Kalau mereka gunakan alasan itu sepatutnya mereka perbetulkan keadaan dari dalam parti.

"Jadi tindakan mereka keluar parti itu sudah pasti tidak baik daripada segi usaha kita untuk mewujudkan sistem dua parti di negara ini iaitu pembangkang yang kuat. Umno sudah menjadi parti yang lemah, dan kalau masih ada lagi yang akan keluar selepas ini, saya tidak terkejut. Parti itu akan menjadi parti nyamuk.

"Sepatutnya mereka (Umno) tidak mudah menyerah kalah. Tetapi inilah keadaannya apabila pemimpin dan parti yang sudah lama berkuasa tiba-tiba hilang kuasa. Jadi mereka mudah hilang semangat dan jalan keluar untuk menyelamatkan diri ialah dengan melompat parti," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Jeniri juga menegaskan tindakan keluar parti tidak baik untuk kematangan demokrasi kerana kita memerlukan "watchdog" yang dapat melakukan "check and balance".

"Bagaimana mereka boleh menjadi pembangkang yang kuat dan memainkan peranan 'check and balance’ yang efektif kalau kedudukan mereka sebagai parti pembangkang sudah lemah.

"Jadi demi kebaikan Malaysia dan untuk ke hadapan kita perlukan Umno yang kuat sebenarnya dan bukan Umno yang lemah serta mudah menyerah kalah," katanya.

Justeru, Jeniri berkata jika mereka ini diterima dan dibenarkan melompat parti, saya fikir kita akan buat pusingan U... balik kepada cara lama yang kemudiannya membantutkan usaha untuk melakukan reformasi dan transformasi ke arah Malaysia Baru yang di mahukan rakyat.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!