Carilah harta yang halal dan bersederhana...
ALLAH SWT menurunkan pelbagai rahmat dan nikmat untuk hamba-hamba-Nya berlumba-lumba mendapatkannya.
Malangnya, ada dalam kalangan kita yang mendapatkannya dengan cara yang tidak benar.
Sebenarnya, mengumpul harta dan kekayaan amat digalakkan supaya kehidupan kita sempurna dan terjamin.
Namun, selepas ekonomi kita menjadi kukuh, Islam mensyariatkan supaya membelanjakan harta itu dengan cara yang dibenarkan antaranya membayar zakat, bersedekah atau melakukan kebajikan untuk kepentingan masyarakat.
Kerana apa? Tujuannya supaya ia terus kekal dan bertambah, bukan pula semakin lama semakin menyusut.
Rasulullah SAW bersabda: "ALLAH SWT memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemah serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya." (Riwayat Ibn an-Najjar)
Dalam hadis itu, Islam tidak menghalang umatnya untuk mengumpul sebanyak mana harta kekayaan yang diingini, namun mestilah dengan cara yang halal dan diredai.
Hanya dengan mencari kekayaan, nasib umat Islam akan terbela dan dapat menghindarkan diri kita daripada meminta-minta, sebaliknya mengumpul pahala dengan cara membelanjakan harta ke jalan ALLAH.
Pun begitu, kita tidak boleh bersikap tamak dan rakus sehingga timbul sikap dengki serta bermusuhan, sebaliknya bersederhanalah dan sentiasa bersyukur.
Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur dan bersederhana ketika berbelanja.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!