Raja Sungai dedikasikan rekod kepada Sultan Perak
IPOH - “Saya dedikasikan rekod ini kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” demikian reaksi pertama pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Kassim, 49, setelah pihak Malaysia Book Of Records (MBOR) mengiktiraf usahanya berkayak menongkah (melawan) arus sejauh 350.92 kilometer baru-baru ini.
Murad berkata, dedikasi berkenaan dibuat berikutan Sungai Perak dilihat ternyata ‘lebih dekat’ dengan baginda selain bagi salasilah keturunan Sultan Perak itu sendiri.
Justeru, memang wajar bagi dirinya sebagai rakyat Perak untuk mendedikasikan rekod berkenaan kepada baginda sebagai tanda kasih seorang rakyat kepada sultannya.
“Kejayaan ini saya dedikasikan kepada Sultan Perak. Ini bukan kali pertama saya dedikasikan kejayaan saya kepada baginda.
“Sebelum ini saya juga dedikasikan kejayaan berakit secara solo dari Kuala Kangsar ke Pasir Salak kepada baginda.
“Jadi, untuk kejayaan mencatat rekod bagi Ekspedisi Legenda Arus Sungai Perak dalam MBOR, ini adalah kali kedua saya dedikasikan kejayaan saya kepada baginda. Daulat Tuanku,” katanya.
Atas kejayaan berkenaan, Murad telah menerima plak penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBOR, Christhoper Wong di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Murad, dia telah mula berkayak sejak 21 April lalu dari Beting Beras Basah di Bagan Datuk dan tiba di Tasik Banding pada 2 Mei 2019.
Sekali gus katanya, tempoh berkenaan membuktikan dia berjaya menamatkan perjalanan kayaknya itu sehari lebih awal dan dengan jarak yang lebih jauh dari yang ditetapkan oleh pihak MBOR.
“Pihak MBOR menetapkan sasaran lebih 300 km dan saya perlu menamatkan perjalanan saya dalam tempoh 13 hari untuk diiktiraf sebagai satu rekod.
“Lagipun saya dimaklumkan, perjalanan kali ini adalah percubaan pertama dalam usaha mencatatkan rekod bagi percubaan kali pertama (kayak melawan arus atau upstream) ini.
“Apa pun, Alhamdulillah atas izin-Nya, saya berjaya menamatkan perjalanan sehari lebih awal, iaitu hanya selama 12 hari malah dengan jarak lebih jauh berbanding jarak yang telah ditetapkan oleh pihak MBOR sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, laluan yang digunakan oleh Murad bermula dari Beting Beras Basah – Kampung Sungai Dulang – Jeti Dataran Udang Galah Teluk Intan – Kompleks Sejarah Pasir Salak, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Bota Kiri – Kem Rekuda – Kuala Kangsar – Empangan Chenderoh – Kampung Temelong – Stesen Janakuasa Elektrik Bersia – Jeti Trojan Tasek Temenggor – Resort Banding.
Difahamkan juga, laluan berkenaan melibatkan sebanyak 12 check-point di sepanjang perjalanan kayak Murad.
Sebelum ini Murad pernah melakukan ekspedisi jelajah solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam tempoh selama 52 hari pada 2015 selain termasuk beberapa lagi rekod lain.
Menceritakan mengenai cabaran yang paling sukar ketika berkayak kali ini, Murad berkata, dirinya berdepan detik paling sukar apabila air surut penuh ketika mahu memulakan perjalanan di Beting Beras Basah.
Katanya, disebabkan keadaan itu, perjalanannya sedikit terganggu dan memerlukan empat jam untuk sampai ke jeti Bagan Datuk.
“Saya juga mengalami sedikit kecederaan di bahagian sendi bahu. Namun saya tetap bertahan demi meneruskan kayuhan.
“Saya sedar, saya membawa misi serta kepercayaan daripada 30 juta rakyat di negara ini. Jadi saya perlu terus bertahan,” katanya.
Tambah Murad di sepanjang perjalanannya, dia telah melalui 17 jambatan bersejarah, tiga tasik terbesar (Tasek Chenderoh, Kenering, Temenggor, dan empat empangan.
Ketika ditanya di manakah dirinya berhenti rehat atau bermalam ketika melakukan ekspedisi berkenaan, Murad pantas menjawab bahawa dia akan tidur di mana perjalannya terhenti.
Katanya, tiada konsep penginapan seperti hotel dan sebagainya bagi seorang pendayung kayak sepertinya.
‘Konsepnya, di mana kayak, di situlah kita ada. Tidur di hotel? Memang taklah bagi seorang kayakers macam saya ni.
“Perkara ini juga sering saya bawakan ketika sesi perkongsian atau sharing di sekolah-sekolah, universiti dan lain-lain.
“Bukan nak menunjuk-nunjuk, tetapi sebenarnya lebih untuk berkongsi kejayaan. Biasanya ada tiga pesanan yang akan saya berikan iaitu mencuba itu lebih baik daripada mengalah, biar jasa jadi kenangan dan hanya jauhari mengenal manikam,” katanya.
Dalam pada itu Murad berkata, dia memang ada ditawarkan untuk melakukan misi (berkayak) di Indonesia sempena hari kemerdekaan negara jiran berkenaan.
Katanya, misi berkenaan mungkin akan melibatkan laluan di sekitar Pulau Belitong di Indonesia.
“Kali ini mungkin bukan secara solo. Mungkin saya akan bawa buat pemilihan khususnya daripada segi skil dan stamina.
“Kena pula dengan usaha saya untuk lahirkan pelapis-pelapis muda di negara ini pada masa hadapan dengan kerjasama daripada pihak Persatuan Kanu Malaysia (Masca),” katanya.
Sementara itu Murad berkata, dia telah membuka aktiviti kokurikulum baharu iaitu Kembara Rekreaksi di UiTM Seri Iskandar sertsa Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, yang melibatkan aktiviti berkayak.
Katanya, setakat ini aktiviti berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat.
“Selama menceburi bidang ini, saya telah melakukan 10 misi. Antaranya melibatkan hingga ke Tasik Danautoba serta perairan negara Brunei.
“Antara lain, matlamat saya juga adalah untuk menunjukkan kepada penjajah bahawa bangsa Melayu itu tetap utuh dan boleh melakukan 'lebih' lagi dalam pelbagai perkara pada masa hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!