Maritim tahan warga Indonesia curi besi buruk
KOTA TINGGI - Tindakan sekumpulan lelaki dipercayai warga Indonesia yang mencuri besi buruk dan barangan mudah diambil dari sebuah kapal dagang di Perairan Johor Timur, pagi semalam membawa padah apabila berjaya ditangkap Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS).
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, pihaknya telah menahan sebuah bot kayu mempunyai nombor pendaftaran yang lazimnya dikenali sebagai 'lima sore' kira-kira jam 3 pagi semalam lebih kurang 2.9 batu nautika selatan Teluk Ramunia.
Menurutnya, turut ditahan dua individu berumur 27 dan 29 tahun ketika mereka sedang memunggah barang-barang milik sebuah kapal dagang.
"Semasa kejadian, pada awalnya dua bot bersama empat individu ditahan namun semasa perjalanan untuk dibawa ke jeti Pos Maritim Pengerang dua individu berjaya meloloskan diri ke perairan Indonesia.
"Dua lelaki berkenaan bertindak terjun ke dalam laut ketika pihak Maritim Malaysia sedang melakukan pembaikan pada satu bot yang hampir tenggelam.
"Bagaimanapun hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia iaitu Asintel Danlantamal IV dan Bakamla kedua-dua mereka berjaya ditahan jam 5 petang waktu Indonesia Barat hari yang sama," katanya pada sidang media di Pejabat ZMTS, hari ini.
Tambahnya, modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini sama seperti kejadian-kejadian lepas seperti kes di Pulau Kukup yang menyasarkan kapal-kapal bergerak perlahan.
Katanya, mereka melakukan aktiviti itu secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata.
Jelasnya, barang-barang yang biasanya dicuri adalah besi buruk atau apa-apa sahaja yang mudah diambil seperti tali dan sebagainya.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 380 dan Seksyen 445 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk. Jika didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
"Justeru pengusaha-pengusaha kapal dinasihatkan supaya menggunakan laluan perairan ini untuk lebih berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya bagi menghindari kejadian seumpama ini berlaku. Sentiasa hidupkan Ships Automatic Identification System (AIS).
"Tambah jumlah petugas pemerhati kapal, berjaga-jaga dengan kehadiran bot yang mencurigakan dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!