Lelaki maut kereta dipandu bertembung lori
PAGOH - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori lima tan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pagoh Perdana, pagi tadi.
Mangsa, Harith Iskandar Mohd Din, 31, yang beralamat dari Sengkang, Bukit Gambir tersepit akibat pelanggaran tersebut.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Izwani Abdul Hamid berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.
"Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu lori lima tan tanpa muatan dari arah Pagoh menghala ke Muar dan sebuah Proton Persona dari arah bertentangan.
"Pasukan bomba mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu.
Menurut Izwani, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh dan BBP Bukit Gambir dengan tiga jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, panggilan diterima jam 7.04 pagi dan operasi tamat jam 8.42 pagi tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!