Hindari fitnah demi perpaduan, pesan Mufti Selangor
SHAH ALAM- Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menasihati umat Islam supaya menghindari fitnah demi perpaduan ummah.
Beliau menegaskan umat Islam dilarang menabur fitnah atau menyebarkannya kerana dosa itu tidak mendapat pengampunan ALLAH selagi ia tidak diselesaikan sesama manusia.
Dalam satu kenyataan sebanyak tiga muka surat dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor hari ini, Tamyes menjelaskan mengenai bahaya dan kesan fitnah serta langkah yang perlu diambil oleh orang Islam bagi menghadapi golongan suka menabur fitnah.
Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Tamyes berhubung isu itu:
Fitnah dengan maksud tuduhan jahat tanpa bukti merupakan suatu pembohongan besar yang sangat merugikan dan termasuk dalam dosa besar yang tidak mendapat pengampunan ALLAH SWT selagi tidak diselesaikan sesama manusia. Oleh kerana itulah Islam melarang umatnya memfitnah atau menyebarkan berita-berita fitnah.
Rasulullah SAW menggambarkan kemurkaan ALLAH kepada pembawa fitnah ini sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud "Dan orang yang paling dimurkai ALLAH SWT ialah orang yang pergi membawa fitnah, memecahbelahkan di antara persaudaraan dan mencaci orang yang tidak bersalah terhadap kesalahan yang tidak dilakukannya." (Riwayat al-Tabarani)
ALLAH SWT membandingkan perbuatan fitnah lebih dahsyat daripada kesalahan membunuh. Ini kerana kesan daripada fitnah tersebut boleh menyebabkan:
I. Menjatuhkan maruah
Fitnah sangat memberi kesan terutama kepada orang yang difitnah. Fitnah akan menyebabkan maruah diri seseorang tercemar di mata masyarakat dan menjadi bahan kritikan, cemuhan dan sindiran tanpa henti bukan terhadap individu tersebut sahaja tetapi juga melibatkan keluarga dan sanak saudara.
II. Membawa Perpecahan dan Perbalahan
Harus diingatkan satu fitnah yang dihamburkan boleh sahaja menghancurkan satu bangsa kerana akan berlaku perbalahan, perasaan tidak puas hati dan perpecahan dalam sesuatu bangsa. Hilang rasa hormat-menghormati, apatah lagi nilai silaturahim akan terputus satu demi satu tanpa penghujungnya bila fitnah menguasai diri.
III. Fitnah Merugikan Masyarakat dan Orang Ramai
Sudah sangat jelas bahawa fitnah banyak memberikan kesan negatif daripada pelbagai sudut sama ada fizikal, psikologi, harta benda dan keluarga. Urusan masyarakat disibukkan dengan melayan berita-berita fitnah sehingga urusan membangunkan negara dan agama akan tergendala.
4. Justeru itu, setiap orang perlu menjauhi diri daripada terlibat dengan perbuatan fitnah dengan cara meneliti setiap berita yang diterimanya (tabayun) dan tidak menjadi ejen menyebarkan berita-berita palsu mahupun fitnah. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang maksudnya; “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.
5. Pada hari ini, fitnah menjadi sesuatu yang mudah disebarkan. Oleh itu,setiap orang hendaklah mempunyai tanggungjawab menghentikan segala berita fitnah daripada terus tersebar. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar”. (Riwayat Muslim)
6. Kesimpulannya, Jabatan Mufti Negeri Selangor berpandangan sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membasmi segala bentuk fitnah yang membawa perpecahan, sekaligus membawa kepada kelemahan umat Islam. Perpaduan dan kesatuan umat Islam wajib dijaga lebih-lebih lagi pada bulan Syawal yang mulia ini. Dalam usaha untuk mendidik masyarakat bagi menghadapi golongan yang suka menabur fitnah ini, al-Imam al-Ghazali ada menjelaskan langkah-langkah perlu diambil oleh umat Islam:
I. Menolak berita yang disampaikan oleh golongan kaki fitnah. Hal ini adalah kerana golongan ini dianggap fasik. Orang yang fasik tidak boleh diberi kepercayaan terhadap berita-berita yang dibawanya.
II. Menunjukkan kemarahan dan kebencian kepada penabur fitnah tersebut kerana ALLAH S.W.T. juga marah dan bencikan golongan ini.
III. Melarang pemfitnah itu daripada meneruskan usahanya memfitnah kerana perintah ALLAH S.W.T. yang menyuruh mencegah segala bentuk kemungkaran.
IV. Menolak daripada bersangka buruk terhadap orang yang menjadi mangsa fitnah tersebut kerana bersangka buruk ini merupakan satu dosa di sisi Islam.
V. Jangan mengintip dan mencari kesalahan yang difitnahkan melainkan bagi penguasa yang dipertanggungjawabkan untuk membuktikan kebenaran yang terfitnah kerana perbuatan mencari-cari keburukan merupakan satu dosa.
7. Namun demikian jika sesuatu dakwaan itu ada asasnya maka pihak-pihak yang terlibat perlu mendatangkan bukti dan diserahkan ke mahkamah syariah untuk proses yang sesuai sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.
8. Akhirnya pihak berkuasa perlu melakukan siasatan lanjut dan membawa mereka yang bersalah ke pihak pengadilan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Sekian, Wassalam.
DATO’ SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Jabatan Mufti Negeri Selangor 17 Jun 2019 Shah Alam, Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!