Sleek Pump mudahkan kerja sedut madu tanpa jejas kualiti
KUANTAN - Sleek Pump ciptaan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dapat membantu memudahkan pengusaha madu kelulut menyedut madu tanpa menjejaskan kualitinya.
Inovasi hasil penyelidikan Dr Mohamad Firdaus Basrawi, Dr Daing Mohamad Nafiz Daing Idris, Dr Mohd Hazwan Yusof, Dr Mohd Yusof Taib, Abdullah Inrahim Mahmoud Al Anati, Luqman Abdul Halim dan Siti Sarah Shaikh Mohd Raziff ini mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan bermula 2016.
Ketua Penyelidik projek tersebut, Dr Mohamad Firdaus yang juga Pensyarah Fakulti Kejuruteran Mekanikal dan Pembuatan UMP berkata, pada peringkat awal produk itu digunakan dan diuji seramai 30 penternak daripada Persatuan Usahawan Kelulut Pahang.
Menurutnya, hasil maklum balas diterima, mereka ternyata berpuas hati dengan fungsi pam tersebut kerana sedutan lebih laju berbanding produk atau kaedah lain dan bateri digunakan lebih tahan lama sehingga empat jam.
“Penggunaan alat ini juga dapat menghasilkan madu lebih berkualiti dan kurang berbuih.
“Kebanyakan penggemar madu tidak menyukai madu terlalu banyak buih sehingga kadangkala boleh menyebabkan botol penyimpanan pecah,” katanya.
Dr Mohamad Firdaus berkata, dengan menggunakan Sleek Pump, madu dari kantung yang disedut dapat terus dimasukkan ke dalam botol.
"Kaedah ini lebih cepat kerana tidak perlu menunggu proses mendapan buih yang mengambil masa seminggu hingga sebulan,” katanya.
Beliau berkata, Sleek Pump berpotensi untuk dikomersialkan memandangkan ia mempunyai lebih 4,000 penternak madu kelulut di seluruh negara.
“Di Pahang sahaja ahli yang berdaftar dengan Persatuan Usahawan Kelulut Pahang (PUKP) seramai 110 orang dengan anggaran madu dihasilkan mencecah 1,400 kilogram sebulan.
“Pihak persatuan juga pernah menyuarakan hasrat agar UMP dapat membantu menyediakan kaedah bagi menyedut atau menuai hasil madu yang lebih mudah dan murah. Maka bermula dari situlah idea penghasilan penyedut madu ini dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini pelbagai kaedah digunakan untuk menyedut madu antaranya dengan mengunakan penyedut minuman, picagari dan pam.
“Kita dapati kaedah tersebut mempunyai pelbagai masalah termasuk madu kurang berkualiti, madu berbuih, sedutan perlahan dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya produk itu dalam proses untuk dipasarkan dengan harga ditawarkan antara RM500 hingga RM600 seunit.
"Reka bentuknya juga bersifat kompak dan dijamin kualiti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!