Bendahari DAP Sabah angkat sumpah ADUN dilantik
KOTA KINABALU - Bendahari DAP Sabah, Loh Ee Eng hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abbas Syed Ali di dewan bersidang DUN, di sini.
Majlis mengangkat sumpah itu disaksikan oleh kedua-dua Timbalan Speaker DUN Sabah iaitu Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun, selain turut dihadiri ADUN Likas, Tan Lee Fat.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ee Eng mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas pelantikan tersebut selain turut melahirkan penghargaan kepada pemimpin dan anggota DAP Sabah kerana menyokong pemilihannya sebagai ADUN dilantik.
"Saya akan berjumpa dengan ketua menteri terlebih dahulu, dan selepas itu baharu saya tahu apakah tugasan saya seterusnya. Bagaimanapun, saya akan terus menjalankan tanggungjawab sedia ada termasuk sebagai pemimpin pembangunan masyarakat di Likas," katanya.
Ee Eng, 55, berasal dari Pulau Pinang dan telah mendapatkan status Pemastautin Tetap di Sabah pada 1998 itu mula bergiat aktif dalam arena politik selepas menyertai DAP tujuh tahun lepas sebelum memegang jawatan sebagai bendahari parti pada 2015.
Sebelum ini, wujud pertikaian terhadap pemilihan Loh sebagai ADUN dilantik kerana beliau bukan dilahirkan di Sabah, namun, Mohd Shafie menjelaskan pemilihan tersebut tidak bercanggah dengan perlembagaan selain ADUN dilantik dicadangkan DAP itu adalah seorang warganegara Malaysia menetap di Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!