Pengedar syabu dicekup di tandas
GEORGETOWN - Seorang penganggur ditahan kerana disyaki memiliki 4,695 gram syabu di sebuah tandas di Jelutong pada jam 3.45 petang, 13 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis menjumpai 101 gram syabu pada suspek berusia 21 tahun itu ketika pemeriksaan dibuat ke atasnya.
Menurutnya, susulan daripada penahanan itu, polis menyerbu rumah sewa suspek di Sungai Ara, Bayan Lepas pada hari sama.
"Selepas sejam menahan suspek, kita menyerbu rumah sewa suspek dan menjumpai 4,594 gram syabu, sebuah alat penimbang digital, sudu serta plastik kosong disyaki alat untuk membungkus dadah tersebut sebelum ia diedar kepada pembeli.
"Nilai keseluruhan syabu yang dirampas adalah RM244,850 dan ia boleh digunakan oleh 23,475 orang penagih. Turut disita, sebuah kereta Toyota Vios, sebuah motosikal Yamaha 135LC dan wang tunai RM2,000," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan belum berkahwin. Dipercayai, suspek menjadikan rumah sewanya itu untuk membungkus dadah berkenaan. Sumber bekalan dadah masih disiasat dan dipercayai dia beroperasi sejak tiga bulan lalu.
"Siasatan awal mendapati, suspek tidak bergerak sendirian. Dia merupakan salah seorang ahli sindiket pengedaran dadah di negeri ini. Kita masih memburu rakan-rakannya yang terlibat dengan rangkaian sindiket ini," katanya.
Tambahnya, suspek direman sehingga 20 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!