Pelajar politeknik berputih mata, motosikal dilarikan pembeli

Motosikal jenis Yamaha 125ZR dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai pembeli di Plaza Tol Sungai Buloh, Sungai Buloh, malam tadi. - FOTO IHSAN MANGSA
Motosikal jenis Yamaha 125ZR dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai pembeli di Plaza Tol Sungai Buloh, Sungai Buloh, malam tadi. - FOTO IHSAN MANGSA
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang pelajar politeknik berputih mata selepas motosikal jenis Yamaha 125ZR miliknya dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai pembeli dalam kejadian di Plaza Tol Sungai Buloh berhampiran Hospital Sungai Buloh, di sini.

Mangsa, Muhammad Zuhaili Ahmad Zarudin, 19, sebelum itu memuat naik status di Facebook memaklumkan niatnya untuk menjual motosikal tersebut dengan harga RM7,500 pada Sabtu lalu.

Kemudian, mangsa telah dihubungi seorang lelaki kira-kira jam 3.49 petang semalam yang menyatakan minat untuk membeli motosikalnya.

Mangsa yang bersetuju untuk bertemu lelaki terbabit berjumpa pada jam 9.40 malam, di Plaza Tol Sungai Buloh, hari kejadian.

Selang beberapa minit, lelaki terbabit datang bersendirian menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi memberitahu mahu membuat pandu uji motosikal berkenaan sebelum membuat keputusan sama ada mahu membeli motosikal itu atau tidak.

Lelaki terbabit juga memberitahu dia meninggalkan kunci keretanya di dalam kereta untuk meyakinkan mangsa untuk membenarkannya membuat pandu uji motosikal.

Awalnya, lelaki itu dilihat menunggang motosikal berkenaan di kawasan berhampiran, namun terus menghilangkan diri ke kawasan Sungai Buloh.

Lelaki terbabit bagaimanapun tidak munculkan diri biar pun mangsa menunggu kira-kira 30 minit.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, mangsa membawa kereta yang ditinggalkan lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar yang mengesahkan kejadian itu berkata, usaha memburu suspek giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!