Guru nyaris maut dihempap papan tulis
Anggota APM memberi bantuan awal sebelum mangsa dihantar ke hospital.
KUANTAN- Seorang guru wanita nyaris maut akibat dihempap papan tulis ketika mengajar dalam makmal sebuah sekolah menengah agama di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Radhiah Yusop, 49, tidak sedarkan diri selepas kepalanya dipercayai terhantuk pada meja akibat hentakan papan tulis yang terjatuh itu.
Ekoran kejadian, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke lokasi untuk memberi bantuan kepada mangsa selepas dihubungi pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berhubung kes kemalangan di tempat kerja.
Pengarah Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.04 tengah hari sebelum tiga anggota bergegas ke lokasi bersama ambulans.
“Ketika tiba, anggota terlibat mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan dihempap papan tulis berkenaan.
“Papan tulis itu terpaksa dialihkan sebelum mangsa dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk rawatan lanjut.
“Difahamkan beberapa pelajar cuba membantu mangsa dengan mengalihkan papan tulis itu tetapi tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan guru tersebut masih menerima rawatan di hospital berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!