Mufti Selangor ingatkan umat Islam hindari fitnah
SHAH ALAM - Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya menghindari fitnah, kerana perkara itu akan mewujudkan rasa tidak puas hati sekaligus menyebabkan pepecahan dalam sesebuah bangsa.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Mohd Tamyes berkata fitnah juga akan menyebabkan maruah seseorang tercemar di mata masyarakat, serta menjadi bahan kritikan, cemuhan dan sindiran tanpa henti, bukan sahaja pada individu tetapi juga keluarga dan sanak saudara.
“Fitnah dengan maksud tuduhan jahat tanpa bukti merupakan satu pembohongan besar yang sangat merugikan, dan termasuk dalam dosa besar yang tidak mendapat keampunan Allah s.wt selagi tidak diselesaikan sesama manusia, oleh itu Islam melarang umatnya memfitnah atau menyebarkan berita fitnah.
“Sudah sangat jelas bahawa fitnah banyak memberikan kesan negatif pelbagai sudut sama ada fizikal, psikologi, harta benda dan keluarga. Urusan masyarakat disibukkan dengan melayan berita fitnah, sehingga urusan membangunkan negara akan tergendala,” katanya.
Katanya, setiap anggota masyarakat juga perlu mempunyai tanggungjawab menghentikan berita fitnah daripada terus tersebar, bagi menjaga perpaduan dan kesatuan umat Islam.
“Jika sesuatu dakwaan itu ada asasnya maka pihak-pihak yang terlibat perlu mendatangkan bukti dan diserahkan ke mahkamah syariah untuk proses yang sesuai sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.
“Akhirnya, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan lanjut dan membawa mereka yang bersalah ke pihak pengadilan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!