Misteri pemandu traktor hilang terjawab

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BESTARI JAYA - Misteri kehilangan seorang pemandu traktor terjawab apabila mayatnya ditemukan di sebuah kolam di ladang kelapa sawit di Jalan Timur Tambahan di sini hari ini.

Mayat mangsa yang berusia 59 itu ditemukan ahli keluarganya kira-kira jam 9 pagi ketika menyertai operasi mencari selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, seorang ahli keluarga mangsa ternampak mayat terapung di kolam terbabit.

"Seorang lelaki berusia 42 tahun ternampak mayat dengan jarak lebih kurang 50 meter dari tempat jentera traktor yang digunakan mangsa untuk bekerja.

"Anggota bomba membantu menaikkan mangsa ke daratan sebelum mengesahkan mayat itu ialah ahli keluarga yang dilaporkan hilang," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada tanda perbuatan jenayah dapat dikaitkan dengan kematian mangsa.

"Sebelum ini dua laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa selepas tidak pulang ke rumah seperti biasa. Sebelum hilang, mangsa dipercayai keluar berkerja di tempat kejadian seorang diri.

"Anak perempuan mangsa berkata, bapanya itu mempunyai penyakit tekanan darah rendah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Md Asri berkata, Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang, Dr Pravin Adrian mengesahkan tiada unsur jenayah dan patukan ular berbisa selepas bedah siasat dilakukan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat diserahkan kepada ahli keluarga mangsa untuk urusan pengebumian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!