Yang di-Pertuan Agong terima mengadap Azmin di Istana Negara
SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Foto-foto pertemuan tersebut dimuat naik Mohamed Azmin menerusi akaun Twitter miliknya kira-kira pukul 8 malam tadi.
Menerusi ciapan yang ditulis pada laman tersebut, Mohamed Azmin menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan menerima mengadap dan menjunjung titah nasihat serta pedoman yang diberikan oleh Al-Sultan Abdullah.
Mohamed Azmin turut memaklumkan lawatan khas Yang di-Pertuan Agong ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memberikan satu lonjakan bagi meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua buah negara.
"Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan merebut peluang untuk mendapatkan penerangan sempena lawatan istimewa Yang di-Pertuan Agong (ke negara itu).
"Hubungan dua hala ekonomi antara Malaysia dan UAE akan dipertingkatkan menerusi pelbagai sektor bagi menambah nilai kolaborasi ekonomi," katanya menerusi ciapan di Twitter itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!