Pengurusan Gua Gomantong perlu ditambah baik
KINABATANGAN - Pengurusan Gua Gomantong perlu ditambah baik bagi memastikan sumber asli daripada gua itu seperti sarang burung terpelihara untuk dinikmati generasi akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jaujan Sambakong hari ini.
Beliau menyarankan agar pihak berwajib seperti Jabatan Hidupan Liar Sabah mengehadkan penuaian sarang burung daripada gua itu bagi memelihara burung layang-layang yang hidup di gua berkenaan.
"Ada anak burung yang hidup di situ dan belum boleh berdikari lagi mati kerana kerakusan orang tertentu yang menuai sarang burung sebelum anak burung matang dan meninggalkan sarang.
"Kalau anak burung mati, burung layang-layang di Gua Gomantong akan semakin pupus dan hilanglah khazanah semula jadi kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang memproses sarang burung gua dan walit syarikat Legacy Destiny Sdn Bhd di sini.
Jaujan menyarankan agar pihak pengurusan Gua Gomantong menetapkan tempoh tertentu untuk penuaian sarang burung, yang mendapat sambutan tinggi di luar negara seperti China.
Beliau juga berkata gua itu boleh diangkat sebagai satu tarikan menarik untuk pelancong luar negara seperti China untuk datang dan melihat sendiri bagaimana burung layang-layang menghasilkan sarang burung yang menjadi popular dalam kalangan masyarakat Cina sebagai makanan berkhasiat.
Terdahulu, Pengarah Urusan Legacy Destiny Sdn Bhd Siman Mahmud berkata beliau terpanggil untuk membina kilang memproses sarang burung itu bagi mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat di Kinabatangan.
Biarpun kilang itu belum lengkap sepenuhnya, namun beliau menyasarkan kilang itu dapat memberi pekerjaan kepada 250 orang dalam masa terdekat.
"Sejak empat bulan lepas, kilang ini mempunyai 60 pekerja yang memproses sarang burung untuk pasaran tempatan dan eksport," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!