Bangunan sekolah dimakan anai-anai: Kontraktor perlu buat kerja ikut spesifikasi
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memuji tindakan pantas Kementerian Pendidikan melakukan penyelenggaraan dan baik pulih infrastruktur bangunan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth yang diserang anai-anai.
Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan positif kerajaan dalam memberikan maklum balas yang cepat itu adalah demi kepentingan pelajar, guru dan pekerja di sekolah tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri berharap kontraktor diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melakukan kerja menyelenggara dan baik pulih struktur bangunan yang mengalami kerosakan dapat melaksanakan tugas dengan baik serta cepat serta mengikut spesifikasi ditentukan supaya anak-anak di sekolah ini dapat menggunakan dewan untuk kegunaan mereka.
“Untuk baiki dewan yang telah diserang anai-anai, peruntukan ada RM150,000 manakala bahagian-bahagian lain seperti atasi masalah anai-anai RM10,000. Ini daripada Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Bersama Pemimpin Masyarakat 2019 Peringkat Johor semalam.
Turut hadir, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan permintaan kerajaan negeri kepada Kementerian Pendidikan agar menyegerakan kerja baik pulih struktur dewan SKPK Princess Elizabeth di sini, yang keadaannya semakin teruk akibat dimakan anai-anai.
Susulan daripada itu, Kementerian Pendidikan kemudiannya memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur dewan SKPK Princess Elizabeth yang terjejas akibat serangan anai-anai telah dilaksanakan sejak Januari lalu.
Malah turut dimaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur sekolah berkenaan juga dijangka akan selesai sepenuhnya pada Julai ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!