Dadah bukan pengakhiran hidup
Nasi telah menjadi bubur. Mujurlah kesedaran datang secara tiba-tiba pada usianya masih muda meski pun terlanjur menggunakan najis itu selama hampir empat tahun seawal usianya 19 tahun.
"Pada awalnya saya memang menolak bila diajak rakan, namun lama-kelamaan berasa tertarik... saya juga berasa lebih fokus dan bertenaga untuk bekerja semasa mula mengambil syabu sehingga akhirnya ketagih.
“Keluarga langsung tidak tahu saya menjadi hamba syabu. Selama empat tahun saya dapat menyembunyikannya, sehingga akhirnya saya terdetik mahu berubah kerana tidak tahu berapa lama lagi saya boleh berterusan begini.
"Sukar untuk saya berterus terang dengan keluarga, terutamanya ibu semasa saya meminta dihantar ke pusat pemulihan. Syukur mereka tidak terus menyisihkan saya selepas diberitahu walaupun berasa kecewa," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Jiwa celaru
Udin mengakui alami kecelaruan jiwa selama lima tahun akibat ketagihan sebelum menyerah diri secara sukarela di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Masa tu saya kerja juruteknik dan berkawan dengan mereka yang ambil dadah. Mula-mula tolak tapi lama-lama bila dipengaruhi, akhirnya saya terdetik untuk mencuba juga. Saya tewas dengan godaan.
“Dari sekadar mencuba akhirnya saya mencari dan menjadi hamba kepada syabu. Saya tak sedar yang saya sudah gian. Menyesal betul sebab kononnya mencuba. Tak ada istilah cuba dengan dadah! Cuba itu bermaksud menjadi hamba selama-lamanya jika tak mahu berubah!,” tegasnya penuh kekesalan.
Udin merupakan salah seorang pelatih di bawah Kes-kes Pengawasan AADK dan sejak menyerah diri pada tahun 2016, dia telah ditempatkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Sungai Ruan.
Anak kelahiran Alor Setar itu bersyukur kerana keluarganya masih menerima beliau dan hadir melawat beberapa kali di pusat latihan itu, tanpa sedikitpun merungut tentang wang yang dihabiskan.
"Sebagai bekas pelatih, saya tahu perasaan pelatih baharu. Jadi saya bersyukur apabila dipilih untuk menjadi Pembimbing Rakan Sebaya bahagian agama di Puspen Sungai Ruan, Raub kerana dapat menggunakan pengalaman sendiri.
Pengalaman itulah sedikit sebanyak membantu saya untuk menjadi pembimbing ke arah yang lebih baik dan menjadi contoh kepada pelatih-pelatih baharu.
"Pengisian agama banyak membantu saya, menjadikan saya lebih tenang dan bersemangat untuk pulih. Sudah tentu, semangat melawan dadah lebih kuat jika mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Pandangan itu dipersetujui pelatih Puspen Gambang di sini, yang hanya dikenali sebagai Arman, 28, yang terjebak dadah sejak berumur 18 tahun.
Elak terjebak
Arman pada awalnya memberontak kerana dipaksa keluarganya untuk menjalani rawatan pemulihan di pusat tersebut namun apabila melihat kesungguhan keluarga yang datang melawat setiap bulan dari Terengganu, membuatkan hatinya insaf untuk berubah.
Arman menjalani program pemulihan selama 10 bulan dan kini turut bergelar Pembimbing Rakan Sebaya di sana.
"Saya memang tak pernah terfikir boleh dan akan meninggalkan dadah kerana dadah sudah sebati dalam diri. Selepas dipaksa datang ke sini dan melihat kasih sayang keluarga, saya kasihan kepada mereka dan bertanya diri sendiri, kenapa aku tidak kasihankan diriku sendiri?
"Bukan mudah untuk memulihkan gejala penagihan dadah ini. Ambil masa dan tuntut kesabaran serta kesungguhan yang tinggi. Sebab itu lebih baik elakkanlah diri daripada terjebak.
“Bila sudah terkena, susah dan hanya bawa keburukan. Lebih sedih, bila kita teringat wajah keluarga yang terluka dengan perbuatan kita," katanya.
Beliau bersyukur kerana pendekatan modul Islamic Spiritual Rehabilitation Approch (ISRA) berasaskan kerohanian keagamaan dalam memulihkan penagih dadah di Puspen terbukti mampu menjadikan penagih meninggalkan dadah buat selamanya.
Mereka dididik dengan solat fardhu lima waktu, tazkirah dan wajib menjalani Qiamulai setiap hari seawal jam 4.30 pagi yang sebenarnya banyak membina jiwa dan mendekati ALLAH SWT.
“Alhamdulillah, Puspen banyak mengajar saya mengenal Islam dengan lebih dekat dan mendekati diri dengan ALLAH. Puspens juga memberi peluang saya menyertai Marhaban yang sememangnya saya minat. Saya menang Pertandingan Marhaban Peringkat Kebangsaan baru-baru ini,” katanya.
Sebagai pengajaran dan pesanan kepada umum, Udin dan Arman berharap mereka yang terjebak dalam penagihan dadah agar jangan malu mendapatkan rawatan, kerana terdapat pelbagai bentuk bantuan disediakan.
Walaupun sukar untuk pulih, ia bukan perkara yang mustahil kerana terdapat pelbagai program disediakan di pusat pemulihan, yang juga menerapkan pengisian kerohanian dibantu dengan sokongan anggota keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!