Kontraktor beri amaran projek bakal terjejas
SHAH ALAM - Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) memberi amaran projek-projek pembangunan infrastruktur awam dan swasta bakal berhadapan dengan kesan buruk ekoran kenaikan harga simen secara mendadak.
Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, projek-projek kecil seperti pengubahsuaian rumah yang melibatkan rakyat juga akan mengalami peningkatan.
“Kontraktor Bumiputera secara umumnya bergantung pada kontrak berharga tetap kerajaan untuk membina sekolah, hospital, klinik kesihatan, balai polis dan balai bomba.
“Kenaikan mendadak harga simen akan mengakibatkan kerugian besar dan ini akan menyebabkan sesetengah kontraktor menangguhkan projek,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Katanya pihaknya kini sudah menerima laporan kenaikan harga simen di beberapa lokasi seperti di Alor Setar, Kedah sebanyak RM14 satu beg simen berbanding RM12 sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!