Gesa kerajaan haramkan jualan arak secara terbuka
KUALA NERUS - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta kerajaan segera meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada termasuk mengharamkan penjualan arak secara terbuka.
Katanya, insiden seorang wanita maut dan suaminya parah akibat dirempuh pemandu mabuk kelmarin bukanlah pertama kali berlaku dan tidak sepatutnya berulang jika kerajaan melaksanakan inisiatif yang betul.
[ARTIKEL BERKAITAN: Penjual kuih maut dirempuh pemandu mabuk]
Menurutnya, sebelum ini telah banyak kali kerajaan didesak supaya meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang hanya memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 sahaja bagi kes seperti ini.
"Sedangkan buruknya arak ini, Islam tidak setakat mengharamkan meminumnya bahkan memerintahkan supaya menjauhinya.
"Lebih daripada itu, 10 golongan mempunyai kaitan dengan arak turut dilaknat oleh ALLAH SWT. Justeru, Islam menetapkan hukuman 40 hingga 80 kali sebatan syarie bagi kesalahan meminum arak," katanya hari ini.
Sejak 2015, beliau juga telah menggesa kerajaan supaya mengharamkan penjualan arak secara terbuka terutamanya di pasar raya dan kedai runcit yang mempunyai rangkaian di seluruh negera.
"Larangan penjualan arak secara terbuka ini bukanlah bermaksud menyekat hak orang bukan Islam untuk meminum arak, tetapi bertujuan memelihara kepentingan masyarakat yang lebih utama berbanding hak individu," katanya.
Justeru, langkah pengawalan seperti larangan ini adalah amat penting dan pendekatan Singapura mengenakan denda bagi kesalahan menjual dan meminum arak dalam waktu larangan di tempat awam wajar dicontohi.
"Jika kerajaan bersungguh tidak mahu kejadian seumpama ini berlaku lagi, sewajarnya kerajaan bertindak segera melaksanakan dua inisiatif ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!