Bantuan bulanan am OKU Negeri Sembilan dinaikkan
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, ini merupakan berita baik bagi golongan OKU memandangkan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.
"Selain itu kita juga memperkasakan wanita Negeri Sembilan dengan memperkenalkan ‘Power House’ –Wanita Gemilang (PH GEM) bagi melatih dan melahirkan lebih ramai golongan wanita yang berkemahiran dan berkepimpinan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Tambahnya, bagi program PH GEM, sebanyak RM30,000 peruntukan disediakan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Seremban, Kuala Pilah dan Tampin dipilih sebagai daerah perintis sebelum ianya diperluaskan ke daerah-daerah lain.
"Ia bertujuan untuk melahirkan lebih ramai wanita yang berkemahiran. Sesiapa sahaja atau badan bukan kerajaan yang berminat dan ingin terlibat dalam program itu boleh berjumpa saya dan boleh mohon melalui program PH GEM yang bukan sahaja dapat meningkatkan dari segi ekonomi, kebajikan sosial malah alam sekitar, pendidikan dan pelbagai sektor lain," katanya.
Turut hadir barisan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak negeri, wakil Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga Pengarah Bahagian Warga Emas Azmir Kasim dan Pengarah JKM Negeri Sembilan Mohamad Hapil.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyarankan pihak yang berkepentingan dalam melestarikan kesejahteraan kanak-kanak, OKU dan warga emas perlu menyediakan satu rangkaian sokongan yang efektif dalam memelihara kesejahteraan golongan ini.
"Pelbagai usaha diambil pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan ketiga-tiga kumpulan sasar ini serta hubungan yang erat antara sesama masyarakat dapat mewujudkan keharmonian dan aset penting kepada negara," katanya.
Program anjuran JKM Negeri Sembilan buat pertama kalinya menggabungkan tiga kumpulan sasar ini dalam satu program pada tahun ini dengan penglibatan sebanyak 600 peserta terdiri daripada kanak-kanak, OKU dan warga emas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!