Yusmadi ketuai jawatankuasa reformasi Dewan Negara
Dewan Negara
A
A
A
Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang bertindak sebagai Pengerusi jawatankuasa itu berkata, penubuhannya hasil perbincangan sesama anggota jawatankuasa itu dan mendapat perkenan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran.
“Kami isytiharkan semua yang hadir pada hari ini telah secara muafakat, secara bi-partisan, tanpa mengira latar belakang parti, bersetuju untuk menjayakan satu inisiatif yang kami panggil sebagai reformasi Dewan Negara.
“Kami akan mulakan tugas dengan memberi cadangan-cadangan yang baik bagi tujuan reformasi institusi Dewan Negara ini,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata anggota jawatankuasa itu juga telah mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang menjaga hal ehwal Parlimen, dan Liew katanya, menyambut baik penubuhan itu.
Antara perkara yang akan dicadangkan bagi reformasi Dewan Negara ialah mengangkat kebebasan Dewan Negara seperti diperuntukkan Perlembagaan dan memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai fungsi institusi itu.
“Malah kami ingin melakukan pendidikan terhadap warga awam yang mungkin salah faham mengenai kedudukan dewan negara itu sendiri.
“Yang Dipertua Dewan turut mencadangkan potensi Dewan Negara memainkan peranan untuk menjalin hubungan baik dengan negara lain, di mana kami selaku Senator boleh menjadi ‘special envoy’,” katanya.
Selain Mohd Yusmadi, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Senator Khairudin Abd Samad, Senator Ismail Yusop, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin, Senator Asmak Husin, Senator Khairul Azwan Harun, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, Senator Nga Hock Cheh dan Senator Adrian Banie Lasimbang.
Anggota lain ialah Senator Datuk Theodore Douglas Lind, Senator Datuk Paul Igai, Senator Datuk Dr S Ananthan, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omar Din dan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Persidangan ditangguhkan sehingga tarikh yang akan ditentukan kemudian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!