23 pelukis hasilkan lukisan atas kertas nanas
PONTIAN - Seramai 23 pelukis terdiri daripada orang awam termasuk 13 pelukis dari The Malaysian Watercolour Society berkampung di Pekan Nanas sempena minggu kesenian yang diadakan sejak dua hari lalu.
Penyelaras program berkenaan, Lee Chin Chan berkata, aktiviti terbabit diadakan bagi membolehkan orang ramai mengetahui keunikan bangunan dan rumah lama Pekan Nanas serta sejarahnya.
Menurutnya, lukisan yang dihasilkan di atas kertas nanas itu berkonsepkan pemandangan menarik bangunan serta rumah lama.
"Kertas nanas yang digunakan memberi nilai tambah kepada lukisan yang dihasilkan. Selain itu, konsep penghasilan lukisan mural turut diterjemahkan bagi memaparkan kisah ceritera penduduk Pekan Nanas.
"Aktiviti melukis sempena minggu seni itu telah dirancang sejak enam bulan lepas selain mendapat kerjasama daripada pihak Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan tajaan sebanyak RM15,000. Kesemua lukisan akan dipamerkan di galeri lukisan Sunway Citrine Hub di Iskandar Puteri,” katanya.
Chin Chan berkata, pelukis yang kebanyakannya datang dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru turut diberi peluang merasai kehidupan seharian penduduk Pekan Nanas.
Katanya, tidak hanya datang untuk melukis, mereka dibawa ke lokasi tumpuan penduduk seperti warung, pasar pagi, ladang nanas dan dusun durian.
“Saya cukup kagum dengan rumah dan bangunan lama di Pekan Nanas yang masih dalam keadaan elok walaupun sudah berusia.
“Ukiran besi tingkap dan pintu yang begitu klasik menyerlahkan keindahan rumah atau bangunan lama yang ada di sini,” katanya.
Lukisan tarik pelancong
Usaha penghasilan lukisan oleh pelukis tempatan dari The Malaysian Watercolour Society dilihat dapat memberi nilai tambah dalam menaikkan kembali imej pekan lama di Pekan Nanas.
Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, Pekan Nanas merupakan penempatan semula yang dibuka selepas zaman darurat. “Terletak di tengah-tengah laluan antara Johor Bahru dan Pontian, Pekan Nanas menjadi pilihan penempatan penduduk. “Kini, Pekan Nanas mengalami banyak perubahan dengan pelbagai pembangunan dinikmati selain menjadi lubuk rezeki,” katanya. Tung Siong berkata, terdapat sebuah rumah lama menggunakan lot nombor satu di Pekan Nanas yang berusia lebih 60 tahun.
“Rumah lot nombor satu itu kini menjadi tumpuan pelukis dan peminat seni dengan membina sebuah arca besi dan melukis mural di situ,” katanya.
Jelasnya lagi, pihak akan menganjurkan bengkel pembuatan kertas nanas sebagai tarikan baharu pelancong memandangkan kertas nanas masih kurang ditonjolkan kepada umum.
Pelukis, Hisham Salmin, 46, berkata dia cukup teruja apabila berpeluang melukis di atas kertas nanas.
Katanya, dia mengabadikan kemeriahan masyarakat berbilang kaum berada di sebuah kopitiam di Pekan Nanas.
“Ini kali pertama saya melukis atas kertas nanas. Permukaan kertas seakan memiliki benang.
“Pembuatan kertas nanas cukup menarik kerana boleh bertahan lama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!