Dua sahabat kantoi sewa kedai untuk jual dadah
PASIR MAS - Taktik dua sahabat yang menyewa kedai untuk menjual dadah akhirnya berjaya dihidu pihak polis apabila mereka dicekup dalam serbuan di Kampung Apa-Apa Meranti, di sini, Ahad lalu.
Dalam serbuan jam 10.30 malam itu polis merampas 15 gram heroin, 30 gram syabu dan 50 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM11,250.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berusia 30 tahun itu berada di dalam premis berkenaan.
"Ketika pemeriksaan dijalankan, kita telah menemui satu paket plastik lut sinar berisi serbuk kristal disyaki syabu berada dalam genggaman salah seorang daripada suspek tersebut," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut di premis itu membawa kepada penemuan tiga botol plastik berisi heroin dan 14 paket plastik mengandungi syabu.
Katanya, selain itu turut ditemui 50 biji pil kuda yang diletakkan dalam tiga paket plastik kecil dan 20 kecil tiub straw mengandungi bahan terlarang itu.
"Siasatan awal mendapati dua sahabat karib itu telah lima bulan aktif menjalankan kegiatan tersebut dan mendapat bekalan dari Rantau Panjang," katanya.
Abdullah berkata, dadah yang dirampas itu diedarkan kepada penagih di sekitar Pasir Mas dan Meranti.
Katanya, kedua-dua suspek itu direman seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952 dan Seksyen 39A (1) ADB 1952," katanya.
Abdullah berkata, pihaknya akan terus melipatgandakan operasi dalam membanteras pengedaran dadah di daerah Pasir Mas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!