BATU PAHAT – Polis daerah ini berjaya menumpaskan sindiket pelacuran di sekitar Yong Peng, di sini, yang bergerak aktif menggunakan aplikasi sosial, WeChat untuk mendapatkan pelanggan. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pada 23 Mei lalu, Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di sekitar Yong Peng. “Dalam serbuan tersebut, kami telah berjaya menangkap tiga wanita warga Thailand dan menahan tiga lelaki warga tempatan yang menjadi pelanggan dan mendapati premis tersebut merupakan sarang pelacuran wanita warga asing. “Kami turut berjaya merampas sejumlah kondom, krim pelincir, minyak urut dan wang tunai yang dipercayai hasil aktiviti pelacuran tersebut dan siasatan mendapati, suspek menggunakan aplikasi WeChat untuk mendapatkan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Menurutnya, kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya dan polis telah memperolehi kebenaran untuk menuduh tiga suspek warga asing ini yang akan dibuat di Mahkamah Batu Pahat, hari ini. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, suspek akan dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. “Manakala, hukuman bagi Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali. “Kami mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai berkait sebarang maklumat jenayah dan apa jua aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat di talian 074343999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.