Percepat Mykad: Pemilik syarikat, kekasih direman
SHAH ALAM - Seorang pemilik syarikat skim pelaburan forex dan kekasihnya direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung suapan RM250, 000 untuk mempercepatkan urusan Mykad seorang lelaki, dua tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Rini Triany Muhamad Ali terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini.
Terdahulu, suspek masing-masing berusia 22 dan 20 tahun tiba di pekarangan kompleks mahkamah jam 10.40 pagi dengan tangan bergari diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 kerana rasuah.
Menurut sumber, pemilik syarikat itu ditahan di sebuah restoran di Kota Damansara semalam, jam 5.25 petang setelah menerima RM5,000 daripada mangsa berusia 20-an sebagai bayaranpendahuluan daripada jumlah keseluruhan RM250, 000 yang dimintanya.
Kekasihnya yang merupakan warga Mesir dan belajar kolej swasta di sekitar Lembah Klang ditahan pukul 1.30 pagi hari ini selepas hadir ke pejabat SPRM Selangor.
Wanita itu dipercayai telah bersubahat dengan menyamar sebagai seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bernama Nadirah
Siasatan awal mendapati wang suapan berjumlah RM250, 000 diminta bagi mempercepatkan permohonan Mykad mangsa yang mempunyai masalah status kewarganegaraan.
"Wang itu dikatakan akan diberikan kepada pegawai atasan JPN," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!