Hazriq rayu sumbangan sambung latihan bola sepak di Sepanyol
JOHOR BAHRU - Impian seorang pemain cilik dari Kota Tinggi untuk beraksi di peringkat antarabangsa dilihat cerah apabila dirinya menerima pelawaan menyertai sebuah akademi bola sepak berpangkalan di Sepanyol.
Bagaimanapun, buat Muhammad Hazriq Hazriel Mazlan, 11, penerimaan tawaran tersebut dilihat sedikit samar apabila mengenangkan kos untuk berada di negara latin itu agak tinggi.
Menurut bapanya, Mazlan Sharif, 44, anak sulungnya itu sudah menerima tawaran dari akademi berkenaan sejak tiga tahun lepas selepas mempamerkan aksi yang baik ketika bersama akademi Bolasepak Barcelona di Singapura.
"Memang kami dah terima tawaran ini sejak tiga tahun lalu, cuma ketika itu dia (Muhammad Hazriq) masih sangat kecil, sekarang saya rasa usianya dah sesuai sedikit. Untuk tahun ini pengambilannya adalah pada bulan September.
"Akademi yang anak saya ditawarkan ini adalah di Valencia, Sepanyol iaitu akademi kerjasama antara pasukan La Liga, Valencia dan Levante," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Muhammad Hazriq yang kini merupakan pelatih National Football Development Project (NFDP) difahamkan memerlukan kos kira-kira RM40,000 untuk menjalani latihan di negara berkenaan.
Mazlan berkata, perkara itu sedikit merunsingkan dirinya apabila mereka belum mempunyai dana yang cukup, manakala tempoh pula semakin singkat.
"Kita ada duit sikit tapi jika nak kata untuk kos ini, memang masih belum mencukupi. Kos ini (RM40,000) memang paling minima untuk dia dan saya tinggal di sana. Kami juga perlu membawa seorang jurulatih peribadi untuk dia faham taktikal bola dan cara permainan di sana.
"Saya juga sedih jika tidak mahu tunaikan permintaan anak saya ini, dia begitu gembira dan sangat mengharapkan peluang ini. Sebab itu saya mohon jika ada mana-mana pihak mahu bantu," katanya.
Katanya, Muhammad Hazriq menunjukkan potensi memberangsangkan sejak berumur tujuh tahun. Dia juga sudah mewakili pelbagai kelab dan negeri dalam temasya bola sepak selain pernah dinobatkan Anugerah Pemain Berdaya Visi Terbaik NFDP bagi tahun 2015.
Menurutnya, dengan pencapaian cemerlang sebegitu, Muhammad Hazriq juga telah berjumpa dengan pelbagai pihak dan kenamaan untuk mendapatkan bantuan bagi menyambung latihan ke luar negara tetapi sekadar menemui jalan buntu.
"Saya dah jumpa macam-macam orang, semuanya sekadar cakap air liur sahaja. Biasalah orang kita, semuanya kena buat sendiri dahulu, bila dah berjaya baru mereka pandang," katanya.
Kepada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan atau berminat menjadi penaja buat pemain cilik ini boleh menghubungi bapanya di talian 019 3029008 atau terus ke akaun Maybank 101254039158 di bawah nama ibunya, Noorasykeen Suratman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!