Pekerja sendiri digesa carum Perkeso
MACHANG - Pekerja khususnya pemandu teksi, e-hailing dan bas digesa mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, skim itu juga bakal diperluaskan termasuk kepada golongan petani, nelayan dan peladang bagi memastikan semua pekerja yang tidak mempunyai majikan, mendapat perlindungan sewajarnya jika berlaku musibah atau kemalangan pekerjaan.
Tambahnya, caruman tersebut telah diwajibkan ke atas pemandu berkenaan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017 serta diberi tempoh sehingga akhir Jun ini.
Namun, jelasnya masih ramai pemandu gagal berbuat demikian sekali pun perkara tersebut telah diuar-uarkan secara meluas sekali gus menafikan hak mereka untuk mendapat manfaat yang disediakan kerajaan melalui Perkeso.
Menurutnya, demi kemudahan pemandu terbabit, pihaknya menyediakan empat kategori caruman yang mana boleh dipilih mengikut kemampuan dan kesesuaian pencarum.
"Caruman yang ditawarkan adalah serendah RM157 setahun yang mana boleh dibayar secara bulanan atau tahunan. Kalau dibayar bulanan, pencarum hanya perlu membayar sebanyak RM13 sebulan.
"Ada yang kata caruman yang dikenakan mahal dan macam-macam alasan lain tetapi mereka perlu mendapatkan maklumat dengan tepat tentang caruman ini. Ia bukan untuk menzalimi pemandu tetapi melindungi mereka dan keluarga sekiranya berdepan bencana yang tidak diingini," katanya kepada pemberita di Kampung Pangkal Binjal, Batu 31, di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat kepada Mohd Nor Daud, 63, yang kehilangan anak, Mohamad Izzudin Mohd Nor, 31, pada 11 Jun lalu.
Mohd Nor juga layak menerima Pencen Penakat sebanyak RM332.50 sebulan sepanjang hayat.
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob.
Tambah Mahfuz, program turun padang termasuk dialog bersama persatuan pemandu dan pemandu-pemandu akan dipergiatkan di seluruh negara dalam usaha memberi pendedahan mengenai skim tersebut.
Katanya, secara tidak langsung, ia akan meningkatkan kefahaman pemandu dan memberi pendedahan mengenai manfaat yang akan mereka perolehi.
Menurutnya, skim itu akan diperluaskan secara berperingkat dalam usaha melindungi semua pekerja dan keluarga mereka sekiranya berdepan musibah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!