'Rakyat tidak perlu bimbang keadaan ekonomi'
KUALA LUMPUR - Rakyat tidak perlu bimbang mengenai keadaan ekonomi semasa, meskipun negara berhadapan dengan suasana yang agak mencabar ketika ini.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kerajaan komited untuk memastikan keadaan ekonomi semasa stabil dan rakyat dijangka bakal menerima manfaat limpahan ekonomi tidak lama lagi.
"Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) memberi komitmen bahawa kami akan memberikan yang terbaik, bekerja keras, dan betulkan keadaan jadi saya percaya rakyat boleh nikmati manfaatnya.
"Sebagai satu contoh peniaga melihat apabila kita sudah membetulkan semua tadbir urus, sistem, struktur dan sebagainya," katanya pada sidang media di ibu pejabat Risda, di sini hari ini.
Katanya, kerajaan kini sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi bagi memastikan ekonomi berkembang.
"Kita memang berhadapan cabaran, tetapi kita komited untuk memberi tumpuan pembangunan dan memastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang agar ia boleh dikongsi bersama," katanya.
Mohd Radzi berkata demikian mengulas Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia mengharungi tempoh sukar akan datang memandangkan ekonomi kini berdepan isu sebenar di tengah-tengah situasi luaran yang tidak dapat diselesaikan malah semakin bertambah buruk hampir setiap hari.
Kata Jomo kebanyakan masalah itu berada di luar kawalan kerajaan Malaysia, dan rakyat sewajarnya bersedia untuk melalui keadaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!