Bot nelayan asing menyamar ditahan APMM
KUANTAN - Sebuah bot nelayan asing dikesan menyamar sebagai bot nelayan tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika menceroboh masuk ke perairan negara untuk aktiviti menangkap ikan secara haram.
Bot bersama tekong dan 18 awak-awak itu didapati menggunakan nombor pendaftaran tempatan ketika menangkap ikan di lokasi kira-kira 77 batu nautika dari Kuantan.
Pelanggaran undang-undang itu dikesan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan rondaan di kawasan perairan berkenaan kira-kira jam 4 pagi semalam.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan berkenaan mendapati ia milik nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran tempatan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit, APMM menemui dan merampas hasil laut dianggarkan seberat empat tan dipercayai diperolehi dalam perairan negara dan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga lebih tinggi.
"Keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM1 juta," katanya.
Zulkarnain berkata, semua 19 nelayan Vietnam berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun dan bot ditahan serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan negara tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya.
Menurutnya, sehingga hari ini, APMM Pahang melakukan hampir 515 pemeriksaan dan 44 tangkapan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, orang ramai disaran memberi kerjasama dan bersama-sama membantu menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!