Jangan hilang tumpuan bina semula negara
KUALA KEDAH - Semua ahli parti diingatkan supaya kembali kepada perjuangan asal berpolitik dan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik negara berbanding membincangkan isu remeh seperti klip video intim dikaitkan dengan seorang menteri kabinet.
Bekas Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail berkata, isu seumpama itu tidak boleh dibiarkan mengalih tumpuan untuk membina semula negara ini malah menyerahkan kepada pihak berkaitan yang memiliki kepakaran melakukan siasatan tanpa perlu dibincangkan secara terbuka.
“Fokus kita mahukan perubahan dan reformasi untuk kebaikan negara, istiqamah dan jangan kita beralih pandangan kepada isu kecil yang mungkin diciptakan untuk mengalih perhatian,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Aidilfitri di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Kuala Kedah.
Azman yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, agenda besar dalam berpolitik adalah untuk baik pulih kerosakan dalam negara, bukannya membuang masa dengan gosip atau cerita tidak senonoh yang remeh-temeh.
“Suatu ketika dahulu, perkara hampir sama berlaku pada tokoh lain, ia dianggap kecil kerana ketika itu media sosial tidak aktif. Kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk watak yang direka dalam sesuatu isu
"Ledakan media sosial memburukkan lagi keadaan, sehubungan itu semua parti seharusnya perlu menyesuaikan diri dengan elektronik tanpa sempadan. Isu seumpama ini tidak wajar dibincangkan secara terbuka,” katanya.
Menurutnya, cara terbaik kendalikan kes seperti itu adalah menerusi biro disiplin parti, polis dan pihak yang memiliki kepakaran untuk menyelesaikannya tanpa dibincangkan semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!