Perlawanan Amal JDT All Stars sasar kutip dana RM500,000

Ismail (kanan) bersama Allistair pada sidang media berkenaan.
Ismail (kanan) bersama Allistair pada sidang media berkenaan.
A
A
A

KUTIPAN dana berjumlah RM500,000 disasarkan mampu diperoleh menerusi perlawanan amal Johor Darul Ta’zim (JDT) All Stars yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada 30 Jun ini.

Perlawanan amal JDT All Stars bakal menyaksikan pertembungan pasukan JDT TMJ dan JDT Rest of the World yang dibarisi lagenda bola sepak dunia seperti Ronaldo, Claudio Caniggia, Robert Pires dan Edgar Davids.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim berkata, dana berkenaan adalah hasil daripada penjualan kira-kira 18,000 tiket yang akan mula dijual di stadium dan platform dalam talian bermula esok.

“Untuk perlawanan ini harga tiket yang ditetapkan adalah serendah RM20 dan boleh didapati di pekarangan Stadium Larkin dan pautan www.tickethotline.com.my bermula esok.

“Ia adalah satu inisiatif terbaik diilhamkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memperkasakan jenama JDT di mata dunia menerusi pelbagai aspek khususnya kebajikan,” katanya pada sidang media di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Allistair Edwards dan Setiausaha Umum PBNJ, Kapten Mohd Aznizam Jamian.

Ismail yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) memberitahu, kesemua kutipan dana tersebut akan disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Women's Aid Organisation (WAO) dan YKTLJ.

“Seperti kita sedia maklum, rawatan kanser memerlukan kos tinggi untuk pembiayaannya, sebab ia sentiasa berterusan. Kita melihat penganjuran seperti ini amat membantu.

Artikel Berkaitan:

“Selain daripada kita dapat melihat kelibat pemain lagenda dunia di depan mata, kita juga secara tidak lansung dapat beramal dan membantu mereka tidak bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, Allistair berkata, pemain Akademi JDT berusia 11 hingga 19 tahun turut berkesempatan 'berguru' dengan lagenda bola sepak dunia ini pada sesi klinik kejurulatihan yang akan berlangsung di Padang Seri Gelam.

“Selepas perlawanan pada 1 Jun ini, kita juga menjemput pemain-pemain ternama ini untuk berkongsi pengalaman mereka dalam klinik kejurulatihan melibatkan pemain akademi.

“Pada hari sama juga, peminat boleh berjumpa dengan lagenda bola sepak ini dalam sesi bertemu peminat (meet and greet) di JDT Kafe. Kita juga sedang berbincang untuk membuat lelongan jersi pemain-pemain ini untuk mendapatkan dana bagi tujuan amal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!