Gagal hubungi YouTube, Mizz Nina anggap ada hikmah
"MALANGNYA tidak berjaya," kata penyanyi, Mizz Nina, memberitahu apabila gagal menghubungi pihak YouTube untuk memadam video persembahannya ketika aktif di bidang seni.
Begitupun, Syazrina Azman, 38 atau lebih dikenali Mizz Nina akur dengan situasi itu dan berharap ada hikmah apa yang berlaku.
"Saya ada mencuba menghubungi pihak YouTube untuk meminta video-video muzik saya sebelum ini dibuang, namun malangnya tidak berjaya.
"Begitupun, saya anggap saja mungkin ada hikmah di sebalik apa yang sudha berlaku," ujarnya sebagaimana dilaporkan mStar Online.
Menurut portal hiburan itu lagi, Mizz Nina juga isteri kepada penyanyi, Noh Salleh, berkata dia sudah tidak berhasrat lagi untuk kembali kepada bidang muzik selepas penghijrahannya pada 2013. Malah katanya, dia lebih fokus dalam menghasilkan sebuah buku dan aktif dengan kerja amal.
"Sekarang ini saya memang sudah tak ada minat nak menyanyi, apatah lagi nak buat persembahan. Perasaan itu pun dah tak ada, meskipun berada di rumah.
"Sebenarnya, sebelum saya berhijrah sudah ada rasa malas nak buat persembahan.
"Sekarang ini, saya lebih cenderung nak berkongsi luahan perasaan menerusi penulisan dan dalam peracangan nak terbitkan buku, cuma belum ada kesempatan nak menyiapkannya lagi," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!