Perlu kemahiran psikologi berdepan dengan penagih dadah
SHAH ALAM - Teknik menangani masalah berdepan pesakit yang mengalami ketagihan dadah antara tumpuan diberikan kepada pengamal perubatan ketika mengikuti Program Latihan Kemahiran Temuramah Motivasi.
Program dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada peserta program untuk mengawal emosi dan tingkah laku ketika berhadapan dengan pelanggan yang menghadapi masalah psikologi.
Pengurus Perhubungan Awam MMA, Serene Retreat Sdn. Bhd, Ahmady Muhammad berkata, ia merupakan program berpanjangan dan akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.
"Sasaran program adalah memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu pengetahuan dari segi persediaan psikologi seseorang yang berminat untuk menimba ilmu psikiatri dan ilmu kaunseling daripada pakar psikologi dari University Of California, Amerika Syarikat, Profesor Igor Koutsenok.
"Penganjuran program berkenaan diharap memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta program mengenai ilmu psikologi dan kaunseling.
"Ia merupakan program berpanjangan dan akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, program tersebut yang turut dianjurkan bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Peserta terdiri daripada pegawai-pegawai dalam sektor kerajaan seperti pensyarah Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketagihan dadah merupakan masalah nombor satu Malaysia selama tiga dekad, terutamanya dalam kalangan mereka yang berusia antara 15 dan 40 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!