Kelantan rakam penghargaan kepada Bibi
KOTA BHARU – Kerajaan negeri merakam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Bibi Ramjani Ilias Khan di atas sumbangannya menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri menghormati keputusan yang dibuat dan berharap Bibi akan terus maju dalam setiap lapangan yang diceburi selepas ini.
“Kita mendoakan yang terbaik buat Bibi. Terima kasih kerana jaga pasukan The Red Warriors (TRW) selama ini. Jasa dan pengorbanan beliau akan dikenang dan sebagai rakyat Kelantan kita berbangga pernah mempunyai seorang presiden bola sepak seperti beliau.
“Pelbagai cabaran telah dilalui, semoga terus berjaya dalam setiap tugasan yang dilakukan selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Terdahulu, Bibi melalui satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya mengumumkan peletakan jawatannya dan memberi mandat Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan tersebut untuk memilih peneraju baharu.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, kerajaan negeri juga berharap pengganti Bibi nanti mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik, sekali gus mengembalikan kegemilangan pasukan kesayangan rakyat Kelantan itu.
“Kita berharap pengganti Bibi nanti dapat berikan yang terbaik. Mengenai kongres, kita doakan semoga semuanya berjalan sebaik mungkin sebagaimana yang dirancang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!