Iklan raya TNB catat lebih 32.2 juta tontonan
KUALA LUMPUR - Iklan raya Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2019 berjudul Konvoi Epik Fantastik mencatat jumlah tontonan lebih 32.2 juta.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan TNB hari ini berkata, pencapaian tersebut sekali gus berjaya memecahkan rekod tontonan iklan rayanya bagi 2018 iaitu berjumlah 23.1 juta.
Manakala di platform Youtube pula, Konvoi Epik Fantastik mencatat lebih lapan juta tontonan di samping 7.7 juta di platform Facebook dan Instagram selain 13.5 juta melalui platform digital yang lain.
"Jumlah tontonan di pelbagai platform media sosial itu menggambarkan iklan raya 2019 TNB menjadi antara pilihan utama netizen sejak pelancarannya pada 23 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Konvoi Epik Fantastik memaparkan telatah Nabila dan keluarga besarnya berkonvoi sehari suntuk beraya ke semua 10 rumah adik beradik Tok Wannya.
Ia menonjolkan tradisi kunjung mengunjungi bagi mengeratkan silaturrahim kekeluargaan yang menjadi antara faktor kekuatan iklan raya tahun ini.
Pelbagai elemen menarik dipaparkan sepanjang iklan tersebut termasuklah babak lucu yang secara tidak langsung mencuit nostalgia mereka yang pulang ke kampung meraikan Syawal.
Iklan berdurasi lebih empat minit itu turut memaparkan pemandangan indah Perlis melalui babak perjalanan konvoi keluarga Nabila dalam perjalanan untuk beraya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!