Umno perlu bangkit bersama Tok Mat

Mohamad Hassan
Mohamad Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Umno perlu sedar bahawa memilih pemimpin Umno bukan berdasarkan populariti di dalam parti sahaja, tetapi yang lebih penting ialah penerimaan rakyat.

Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, kalau persepsi rakyat tidak baik maka Presiden yang dilantik boleh menyebabkan parti kalah.

"Jawatan Presiden atau sesiapa sahaja yang menjalankan tugas sebagai Presiden pada ketika ini sentiasa menjadi perhatian dan penilaian ahli dan rakyat.

"Ini juga merupakan satu cabaran yang amat besar untuk Datuk Seri Mohamad Hassan (Pemangku Presiden Umno)," katanya dalam satu kenyataan.

Maulizan berkata, Umno perlu bangkit bersama Presiden dan nasib parti kini terpikul di bahu Mohamad dengan dokongan padu dari pimpinan semua peringkat.

"Kepada semua pemimpin dan ahli Umno, marilah kita rapatkan balik barisan kita dan berilah sokongan terhadap Mohamad sebagai Pemangku Presiden untuk memulihkan parti sepertimana yang pernah kita berikan kepada pemimpin terdahulu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan Pemangku Presiden Umno diberi kekuatan untuk memimpin parti tersebut.

"Saya menarik nafaz lega kerana berlaku satu perubahan baru yang memberi harapan kepada ahli Umno dan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Bukanlah semua rakyat benci kepada Umno tetapi mungkin ALLAH nak uji kita dengan nikmat tiada kuasa dan kita perbetulkan kesilapan kita semua di masa lalu.

"Mungkin kita dulu alpa, lalai, ambil mudah, tidak memahami kehendak rakyat, salah guna kuasa, bongkak dan pelbagai unsur negatif yang ada di kaca mata rakyat terhadap sebahagian dari pemimpin kita atau termasuk kita semua," katanya.

Berikutan itu, beliau mahu semua pemimpin Umno perbaiki diri dan berikan kepimpinan yang lebih bersih, telus, berintegriti dan yang paling penting dapat mengubah persepsi rakyat ke arah yang lebih positif.

"Kekalahan dalam pilihan raya, ketidakyakinan terhadap pemimpin telah membuktikan bahawa jawatan Presiden Umno amatlah penting kerana selama ini sesiapa yang dipilih sebagai Presiden Umno maka dialah bakal Perdana Menteri dan sebaliknya.

"Pilihan raya yang lepas membuktikan bahawa sebahagian besar rakyat tolak Umno dan BN kerana rakyat tidak mahu Presiden Umno pada ketika itu menjadi Perdana Menteri dan Umno kehilangan kuasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!