Lembaga Pengarah SRC akan disingkir jika gagal patuhi nasihat Najib: Ismee

Ismee Ismail - Foto Bernama
Ismee Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli-ahli lembaga pengarah (BOD) SRC International Sdn Bhd yang enggan mematuhi minit yang mengandungi nasihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan disingkir atau diminta meletak jawatan.

Ini didedahkan oleh bekas pengerusi Lembaga SRC Tan Sri Ismee Ismail, 54, semasa disoal semula oleh timbalan pendakwa raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-27 perbicaraan Najib berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ishak: Sebelum ini Tan Sri beritahu BOD mematuhi minit (mesyuarat) pemegang saham. Apakah akibatnya kalau BOD tak mengikut minit pemegang saham?

Ismee: Kini keadaan hanya bersifat hipotesis. Sama ada ahli-ahli BOD perlu berundur atau kami akan disingkir.

Najib merupakan penasihat emeritus SRC International.

Ketika disoal semula oleh pendakwa ad hoc Datuk V. Sithambaran, saksi itu berkata tidak ada kenyataan diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tandatangan palsu pada satu dokumen.

Sithambaram: Adakah anda sedar sama ada Najib atau seseorang telah membuat laporan polis mengenai tanda tangan palsu dalam ID 503 (resolusi)?

Ismee: Saya tidak sedar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bila disoal balas oleh peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata beliau tidak pernah menemui Najib untuk membincangkan masalah yang dihadapi syarikat.

Ismee berkata, perkara itu hanya disampaikan kepada bekas pegawai khas Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, bila beliau menyerahkan surat letak jawatannya.

Menjawab soalan Muhammad Shafee sama ada beliau ada memberi sebarang maklumat kepada bekas perdana menteri itu untuk tindakan selanjutnya, Ismee menjawab "Tidak."

Muhammad Shafee: Tak ada seorangpun daripada anda tampil memberitahun Najib?

Ismee: Ya, setakat yang saya tahu.

Kepada soalan lain, Ismee berkata beliau tidak akan menerima pelantikan menjadi anggota lembaga jika beliau tahu mengenai isu ketidakjujuran membabitkan CEO syarikat ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil.

Muhammad Shafee: Adakah anda setuju bahawa kejujuran CEO (Nik Faisal) adalah perkara paling penting untuk lembaga berfungsi?

Ismee: Ya.

Muhammad Shafee: Lembaga tidak boleh berfungsi (tanpa kejujuran CEO)?

Ismee: Ya.

Muhammad Shafee: Anda tidak ada masalah dengan lembaga. Tetapi mempercayai Nik Faisal.. anda tidak ada masalah mempercayainya ketika itu?

Ismee: "Tidak."

Muhammad Shafee: Adalah tepat untuk mengatakan bahawa hari ini anda punya pandangan berbeza tentang Nik Faisal, selepas begitu banyak pendedahan. Kami telah menunjukkan anda dokumen, bukti.

Ismee: Ya.

Tiba-tiba, nama penyanyi dan aktres Amerika J. Lo atau Jennifer Lopez disebut dalam mahkamah.

Nama ini muncul bila Muhammad Shafee membetulkan bunyi sebutan Sithambaram, dan menyatakan bahawa "ianya adah Jho Low, bukan J. Lo."

Terdahulu, kepada satu soalan, saksi itu berkata Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, tidak dilantik untuk mana-mana jawatan dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sithambaram: Semalam, rakan arif saya Harvinderjit Singh menanyakan anda beberapa soalan, tetapi saya ingin menanyakan awak lagi untuk penjelasan. Beliau menanya anda sama ada Jerome Lee, Terrence Geh dan Nik Faisal rakan rapat Jho Low. Dan anda kata sekarang anda tahu bahawa mereka adalah demikian (rakan rapat)?

Ismee menjawab "Ya."

Sithambaram: Apa jawatan Najib dalam 1MDB?

Ismee: Pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Sithambaram: Adakah Najib rakan rapat Jho Low?

Ismee: Saya tak tahu.

Ismee kelihatan tenang pada sepanjang prosiding, malah sempat bercanda dengan Sithambaram dengan bertanya "Anda tanya tentang J. Lo atau Jho Low?"

Ini mencetuskan gelak ketawa dalam kalangan pengamal media dan orang awam dalam mahkamah.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!