'Tak puas hati jumpa, jangan buat cerita'

Pusat jagaan warga emas ini masih beroperasi seperti biasa. Gambar kecil: Azrin
Pusat jagaan warga emas ini masih beroperasi seperti biasa. Gambar kecil: Azrin
A
A
A

SEREMBAN - "Saya tidak takut kerana tahu tidak buat salah. Tapi saya tidak pasti kenapa sampai begitu sekali saya dituduh".

Demikian jelas pengusaha pusat jagaan warga emas, Azrin Shala, 49, setelah tular dakwaan berlakunya pengabaian dan penderaan warga emas di pusat jagaan kendaliannya di Seremban 3, di sini seperti mana tular di laman sosial sejak semalam.

Menurutnya, pusat jagaan itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi sejak enam tahun lalu dan kini mempunyai seramai 12 warga emas berusia 65 tahun ke atas yang beragama Islam dengan diuruskan tiga pekerja.

“Saya tahu pusat jagaan saya tular kira-kira jam 6.30 petang semalam selepas dihubungi pekerja dan saya betul-betul kecewa kerana difitnah sebegitu.

“Gambar yang tular itu memang di pusat jagaan saya, di mana ia adalah bilik persalinan yang disediakan khas untuk memakaikan lampin pakai buang kepada penghuni. Tapi tiada berlaku pengabaian dan penderaan seperti ditulis,” katanya ketika ditemui di pusat jagaan itu di sini, hari ini.

Berkenaan video seorang wanita dipercayai pekerja pusat jagaan itu memegang payudara seorang penghuni warga emas, Azrin berkata, ia hanya gurauan.

Gambar keadaan warga emas yang tular di Facebook
Gambar keadaan warga emas yang tular di Facebook

Selain itu katanya, kebanyakan warga emas di situ mempunyai masalah kesihatan dan dihantar oleh waris dengan dikenakan bayaran antara RM1,300 sehingga RM1,600 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ditanya berkenaan penularan gambar dan video berkenaan, Azrin tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh ‘orang dalam’ yang berdendam atau tidak puas hati dengannya.

“Tapi dalam isu ini saya tidak mahu tuduh sesiapa dan harap individu itu muasabah diri. Kalau dia tidak puas hati dengan saya, datang jumpa dengan saya bukannya dengan buat cerita di laman sosial.

“Saya serahkan kepada polis untuk jalankan siasatan dan harap kes ini dapat diselesaikan secara aman. Buat masa ini pusat jagaan saya beroperasi seperti biasa dan tiada mana-mana waris pun yang buat keputusan keluarkan penghuni di sini,” katanya.

Beliau dan kakitangannya turut membuat laporan polis semalam untuk menafikan segala dakwaan di laman sosial berkenaan.

Terdahulu, tular dakwaan berlakunya pengabaikan dan penderaan di pusat jagaan warga emas itu hingga

menyebabkan 16 kematian sejak premis berkenaan beroperasi.

Setelah berita itu tular, pegawai dan anggota polis serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat memasuki premis berkenaan kira-kira jam 11 pagi dipercayai bagi melakukan siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!