Budak terperangkap dalam mesin dobi

Video rakaman seorang kanak-kanak terperangkap dalam mesin dobi.
Video rakaman seorang kanak-kanak terperangkap dalam mesin dobi.
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden yang berlaku di kedai dobi sebelum ini nyata masih belum cukup memberi pengajaran kepada masyarakat.

Terbaharu, tular rakaman video di media sosial seorang kanak-kanak terperangkap dalam sebuah mesin di kedai dobi .

Bagaimanapun, masih tidak diketahui di mana lokasi kejadian itu berlaku.

Dalam video berdurasi 7.12 minit itu, seorang kanak-kanak pada mulanya dirakam hanya duduk di permukaan pintu mesin dobi.

Tidak lama selepas itu datang seorang lagi kanak-kanak dilihat cuba bergurau dengan menutup pintu mesin dobi tersebut.

Keadaan menjadi cemas apabila pintu itu terkunci dan gagal dibuka meskipun cubaan dilakukan beberapa kali.

Kejadian kemudian disedari seorang lelaki yang dirakam cuba membantu dan membuka pintu tersebut beberapa kali namun usaha terbabit gagal.

Setelah beberapa minit, seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak ke tempat kejadian dan dalam keadaan panik meminta bantuan orang di kawasan berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Manakala seorang wanita kelihatan memukul kanak-kanak lelaki yang menutup pintu mesin dobi tersebut sebelum ia dihalang wanita lain.

Hampir enam minit diperlukan untuk mengumpil pintu mesin dobi sebelum kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Rakaman kejadian itu mengundang pelbagai reaksi netizen.

Paul Yambun Inbun berkata, sepatutnya mesin dobi dilengkapi butang keselamatan untuk berdepan sebarang situasi kecemasan.

"Patut mesin ini dipasang dengan alat safety (keselamatan). Boleh diberhenti dan dibuka bila ada kecemasan macam ni," tulisnya di ruangan komen.

Seorang lagi pelayar Facebook, Den Maxxtone berkata, ibu bapa patut dipersalahkan jika insiden seperti itu berlaku.

"Yang salah ibu bapa sebab tak pantau anak-anak biarkan bermain di kedai dobi layan diri,"katanya.

Liza Liz pula menulis ibu bapa perlu awasi anak-anak di kedai dobi.

"Kalau mahu cuci kain kat dobi awasi anak-anak jangan sampai anak-anak masuk kat dalam mesin basuh,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!