Dua kilang simen diberi notis
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melakukan pemeriksaan ke atas dua pengeluar simen di negeri ini semalam dan hari ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Mohd Suffian Mohd Abass berkata, tindakan itu dibuat susulan arahan Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya berhubung isu kenaikan harga simen secara mendadak sehingga 40 peratus.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada dua kilang simen berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berhubung punca kenaikan harga bahan binaan tersebut.
“Notis tersebut perlu dijawab dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan dan kegagalan berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga KPDNHEP Pahang hari ini.
Mohd Suffian berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan pro aktif dengan membuat pemeriksaan ke atas syarikat ‘ready-mixed concrete’ di Pahang untuk menangani isu berkenaan.
“Melalui maklum balas daripada pihak kilang, kita akan mendapatkan maklumat untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca kenaikan tersebut sama ada berlaku di peringkat pengeluar, pemborong atau peruncit.
“Pada masa sama, pemeriksaan turut akan dilakukan di peringkat pemborong dan peruncit bagi melihat isu ini secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menyediakan pelbagai saluran aduan termasuk Portal Rasmi KPDNHEP, http://eaduan.kpdnhep.gov.mu, WhatsApp 0192794317, Twitter dan Facebook KPDNHEP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!