Petani, agensi kerajaan perlu tingkat hasil pertanian
IPOH - Golongan petani serta agensi kerajaan perlu sentiasa bekerjasama dalam usaha mencari kaedah dan pendekatan bagi meningkatkan hasil pertanian, khususnya di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerjasama berkenaan dilihat penting kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan memperkasakan ‘food security’ negara pada masa hadapan.
Menurut Ahmad Faizal, kerjasama berkenaan sekali gus bakal membantu mengurangkan import barangan pertanian.
“Import barangan pertanian ini bernilai berbilion ringgit setahun. Oleh itu kerjasama dalam kalangan golongan petani dan kerajaan penting untuk tingkatkan hasil pengeluaran pertanian.
“Kerajaan negeri percaya, menerusi pendekatan yang betul, sektor pertanian juga bakal membantu mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim sempena Program Bertemu Pelanggan Pejabat Pertanian Daerah Kinta / Kampar di pekarangan Pejabat Pertanian Daerah Kinta.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Perrtanian Perak (pengembangan), Pegawai Daerah Kampar, Khairul Anuar Ramli, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun dan Pegawai Pertanian Daerah Kinta / Kampar, S S Siree
Sementara itu Ahmad Faizal berkata, kajian perlu dibuat bagi mencari pendekatan kreatif serta inovatif bagi memperkasakan industri buah-buahan tempatan seperti limau bali serta durian cukup digemari oleh pelancong khususnya dari China.
Katanya, semua pihak perlu melihat potensi besar bagi eksport durian dan produk-produk hiliran durian ke pasaran negara berkenaan yang memiliki penduduk seramai 1.42 billion.
“Produk-produk hiliran seperti durian crepe atau aiskrim durian perlu diberikan perhatian untuk dipromosikan kepada pelancong-pelancong berkenaan.
“Dengan saiz pasaran yang sebegitu besar di China, golongan petani serta usahawan tempatan berpeluang menjana hasil pendapatan yang berlipat kali ganda dan membantu meningkatkan taraf hidup petani,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!