JKM sedia ambil tindakan jika tuduhan tidak benar
SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan tidak benar mengaitkan kakitangan jabatan itu dengan dakwaan berlaku pengabaian dan penderaan di pusat jagaan warga emas di Seremban 3, di sini.
Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, jabatan berkenaan sedang menjalankan siasatan lanjut isu berkenaan yang tular di laman sosial sejak semalam.
“JKM juga sedia kerjasama dengan pihak berkuasa atas dakwaan salah laku kakitangannya seperti yang didakwa oleh penular itu.
“Bagi menjaga nama baik jabatan ini dan perkhidmatan awam, pihak jabatan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan ke atas penular, jika apa yang ditularkan ke atas kakitangan dan jabatan adalah tuduhan yang tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Selain itu beliau turut melawat pusat jagaan itu semalam kira-kira jam 10.30 malam dan menyerahkan kepada pihak polis dan JKM untuk jalankan siasatan lanjut.
Katanya, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil sekiranya pusat tersebut tidak mematuhi peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993.
“JKM mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang awam yang sentiasa peka dan prihatin berkenaan isu kebajikan masyarakat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dikurung, disepak dan minum air kencing...
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!