'Bukan lari tapi cari rotan'
HULU TERENGGANU - Komuniti orang asli Sungai Berua tidak melarikan diri dari perkampungan kerana tragedi di Kuala Koh, sebaliknya hanya keluar mencari hasil hutan di Kampung Gerdong.
Difahamkan, lebih 150 penduduk berkenaan telah keluar dari perkampungan mereka sejak lebih kurang sebulan lalu dan membina penempatan sementara di pinggir hutan simpan.
Dalam tempoh berkenaan, sudah dua lokasi mereka berpindah selepas selesai kerja-kerja mencari rotan di kawasan tersebut sebelum berpindah ke lokasi baharu pula untuk meneruskan kegiatan ekonomi mereka.
Seorang penduduk, Jantan Salak, 60-an berkata, selain komuniti Sungai Berua, terdapat juga segelintir masyarakat orang asli dari Kelantan bersama mereka di penempatan sementara itu bagi mencari rotan.
"Kami bukan lari pindah di hutan ini sebab takut jadi macam Kuala Koh tapi datang sini lebih kurang sebulan lalu untuk cari rotan. Raya pun dalam hutan sebab tidak balik rumah di Sungai Berua.
"Kami masih sayang rumah, cuma cari kerja di hutan ini untuk beli beras hendak makan nasi. Buat apa nak lari, sementara sahaja duduk dalam hutan ini, siap kerja ini esok-esok kami balik semula Sungai Berua.
"Pondok khemah yang duduk sekarang sudah tempat kedua, esok kami akan pindah ke kawasan lain pula untuk cari rotan di situ pula sebab di sini telah habis. Kalau ada pun jauh dalam hutan sana," katanya.
Tambah Jantan, setiap kali berpindah ke lokasi baharu, mereka akan membina penempatan sementara yang baharu di kawasan tersebut dan bahan utama digunakan kebiasaannya buluh, batang kayu serta kanvas.
Sementara itu, bagi Samsuri Ismail, 20, ketika ditemui di perkampungan orang asli di Sungai Berua berkata, dia antara salah seorang penduduk yang berada di kawasan hutan di Kampung Gerdong lebih kurang sebulan lalu.
"Ramai lagi orang di sana (Gerdong), saya tidak lari sebab takut jadi macam Kuala Koh tapi pergi cari rotan.
"Selama hampir sebulan menetap sementara di sana, saya ada juga pulang ke rumah di Sungai Berua ini dengan motosikal. Kawasan sini dengan tempat hutan kami duduk tidak jauh, tapi hendak balik hari-hari letih juga," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!