Gagasan gerakan pencerahan
A
A
A
Kebenaran bukan terletak kepada ramainya yang bersetuju dalam sesuatu perkara kerana persetujuan boleh dibina dengan indahnya persepsi dan provokasi. Kebenaran akan tetap menjadi kebenaran di mana sahaja ia berada dan pada bila-bila masa.
Namun dewasa ini, kita lebih kerap dijamu dengan provokasi dan persepsi negatif hingga ada dalam kalangan kita tidak dapat membezakan antara hak dan batil. Kita disibukkan dengan pembinaan persepsi dan provokasi sehingga kewajipan kepada kebenaran tersasar jauh.
Gerakan At-Tanwir atau pencerahan adalah gerakan yang telah dimulai seawal Islam diutuskan lagi. Firman ALLAH di dalam Surah A’basa berkenaan teguran kepada Rasulullah SAW berkenaan peristiwa bersama seorang buta bernama Abdullah Ibnu Ummi Maktum di mana beliau meminta diajari beberapa perkara berkenaan Islam sedangkan pada masa tersebut baginda sedang sibuk berurusan dengan beberapa pemimpin Quraish.
Lantaran itu, Rasulullah SAW berpaling daripada Abdullah dengan tidak menjawab persoalannya dan meneruskan komunikasi dengan pemimpin tersebut. Tindakan ini telah ditegur langsung oleh ALLAH SWT melalui surah ini.
Manifestasi daripada teguran ini selain larangan membeza-bezakan antara orang besar dan orang biasa dalam dakwah adalah untuk menyatakan kebenaran di dalam semua perkara. Kedudukan Rasulullah SAW sebagai seorang rasul dan nabi adalah mulia. Boleh sahaja bagi ALLAH SWT untuk mengingatkan Rasulullah SAW secara sir (rahsia) dalam menjaga maruah baginda dalam kesilapan tersebut. Namun ia direkodkan dalam al-Quran bagi menyatakan bahawa gagasan kebenaran adalah lebih utama.
Kita hidup dalam zaman fitnah. Ujian demi ujian hadir kesan daripada persepsi buruk yang telah terbina menjadi keyakinan. Kita yakin ia adalah kebenaran namun hakikatnya kebatilan. Keyakinan di atas kebatilan ini tanpa ada usaha untuk memberi dan mencari kebenaran akhirnya mengakibatkan kesan buruk kepada diri, masyarakat dan negara.
Banyak perkara baharu diwujudkan hasil daripada tanggapan dan persepsi salah yang dibina di atas keruntuhan kebenaran kelihatan hebat namun hakikatnya adalah membinasakan. Kejatuhan rejim Saddam Hussein contohnya adalah dengan tanggapan Amerika Syarikat bahawa Iraq mempunyai senjata nuklear.
Lantas digantikan dengan pemerintah baharu yang sehingga kini masih lagi gagal untuk mewujudkan keamanan. Lebih teruk lagi kejadian ini telah menyebabkan ribuan nyawa hilang dan jutaan harta musnah.
Sejarah Melayu juga mengajarkan kita bagaimana Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi mampu bertukar daripada kawan menjadi lawan. Disebabkan provokasi dan persepsi buruk berkenaan Hang Tuah, maka Hang Jebat memilih untuk marah dan kecewa. Beliau mengamuk dan berlakunya pertumpahan darah.
Peristiwa demi peristiwa, namun gerakan provokasi dan persepsi buruk masih lagi mengatasi usaha ke arah kebenaran. Oleh sebab itu, usaha ke arah kebenaran perlu digerakkan secara menyeluruh. Ia adalah bukan bersifat nafsiyyah atau berseorangan, namun ia adalah peranan kita semua dalam mencari kebenaran sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzhi:
“Janganlah kamu menjadi ‘pak turut’, sekiranya baik manusia maka baiklah kamu dan sekiranya mereka zalim maka kamu turut menjadi zalim. Akan tetapi berpendirianlah, sekiranya baik manusia maka baiklah kamu dan sekiranya mereka buruk (sikapnya) maka janganlah kamu menjadi zalim” (Hadis ini dinilai lemah oleh Al-Albani namun maksudnya benar)
Kita sebagai agen kebenaran perlu kekal di atas kebenaran tidak kira dalam kelompok mana kita berada. Kita perlu menjadi agen perubah dan bukan dirubah oleh suasana dan ketika. Kita perlu kekal di atas kebenaran biarpun hanya tinggal kita seorang sahaja yang berusaha di atas kebenaran kerana usaha ini adalah suatu perjuangan.Kita disibukkan dengan pembinaan persepsi dan provokasi sehingga kewajipan kepada kebenaran tersasar jauh."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!