Doa buatmu Ainul Mardhiah
TUBUHNYA kurus dan pandangan matanya amat sayu. Kelihatan ketulan daging berwarna kemerahan tersembul dari mulutnya. Gambaran tubuh yang kecil menanggung derita yang amat berat itu meruntun hati penulis.
Penulis masih ingat tidak mampu menonton video itu hingga tamat. Ada anak kecil membuatkan penulis dapat merasakan betapa luluhnya hati Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24, melihat keadaan permata hati mereka itu.
Video itu tular di media sosial pada April lalu dan pantas nama Ainul Mardhiah yang menghidap germ cell tumor mendapat perhatian negara.
Penulis yakin ramai masih tidak mengetahui penyakit apakah yang menyerang tubuh kecil itu.
Seorang pegawai perubatan yang masih berkhidmat di klinik kesihatan, Dr Latif Saad menerusi laman blog thediagnosa.com menjelaskan germ cell tumor berpunca daripada sel yang menghasilkan sel pembiakan seperti sperma dan ovum.
Katanya, disebabkan sel itu membahagi dan membesar secara tidak normal, maka terjadi tumor tersebut.
“Tumor sel germa selalunya akan berlaku di kawasan testis atau pada bahagian ovari. Ini kerana di kawasan tersebut sel reproduktif seperti sperma dan ovum dihasilkan.
“Jarang untuk tumor ini berlaku di kawasan selain daripada testis dan ovari. Kebanyakan tumor yang berlaku di kawasan lain akan melibatkan mereka yang berusia muda sama seperti kes adik Ainul Mardhiah. Tumor itu berlaku pada kawasan mulutnya,” tulisnya.
Kronologi penderitaan Ainul dikongsi untuk tatapan umum di akaun Facebook Ahmad Safiuddin yang kini ada 139,538 pengikut. Perkembangan bayi perempuan berusia 10 bulan itu juga dimaklumkan dari masa ke masa.
Dilahirkan pramatang pada 13 Ogos 2018 di Hospital Melaka, Ainul menjengah dunia dengan ketumbuhan yang terkeluar dari mulutnya.
Dia segera dimasukkan ke wad kecemasan kerana keadaannya yang disahkan kritikal oleh doktor sebaik dilahirkan.
Menurut bapanya, ketumbuhan menutupi mulut dan hidung anaknya hingga sukar bernafas, namun syukur ALLAH masih menyayangi Ainul yang berjaya diselamatkan dengan cara bypass pernafasan.
Pada usianya sembilan hari iaitu pada 23 Ogos 2018, Ainul dipindahkan ke Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dibedah bagi membuang ketumbuhan keesokan harinya. Ketika itu beratnya hanya 1.3 kilogram.
Pembedahan itu berjaya namun anak kecil itu kehilangan lelangit yang hanya dapat dirawat ketika usianya besar sedikit.
Bayi malang itu kemudiannya dipindahkan ke Melaka, namun ujian ALLAH tidak terhenti di situ apabila ketumbuhan muncul semula selepas sebulan Ainul dibedah.
Bermulalah rawatan demi rawatan dijalani tubuh kecil Ainul bagi mengubati penyakit kanser yang dihidapinya dan doktor melakukan segala usaha bagi memastikannya sihat.
Jelas sekali kuasa tular media sosial sangat hebat. Tanggal 21 April 2019, Ahmad Safiuddin dihubungi doktor yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri.
Dr Amalina mahu membawa Ainul mendapatkan rawatan di London. Dalam komennya di akaun Instagram, beliau memohon jasa baik masyarakat memberikan sedikit sumbangan untuk segera membawa Ainul ke London.
Kemurahan hati rakyat Malaysia dan keprihatinan pelbagai pihak telah membantu membawa Ainul ke London untuk menjalani pembedahan dan rawatan pada 26 Mei lalu.
Dengan izin ALLAH SWT, Ainul selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya pada 11 Jun lalu, pada saat umat Islam meraikan Syawal ketujuh.
Pembedahan yang mengambil masa selama lima jam itu dijalankan sepasukan pakar yang diketuai Profesor David Dunaway dan Dr Juling Ong.
Penulis berasa kagum dan terharu melihat kesungguhan insan-insan berhati mulia yang berusaha membantu Ainul.
Lebih menyentuh hati, video berdurasi 4.06 minit yang dimuat naik oleh bapa Ainul di Facebook pada 15 Jun lalu menunjukkan Ainul semakin sihat dan ceria.
Dengan lebih 29,000 tanda suka dan dikongsi 12,000 pengikut Ahmad Safiuddin, rakaman itu mengubati kerinduan kepada Ainul yang kepulangannya ke tanah air amat dinantikan.
Air mata penulis bergenang melihat wajah comel Ainul yang seindah namanya.
Syukur Alhamdulillah dia kini sudah tidak perlukan bantuan oksigen dan boleh bernafas sendiri.
Teruslah tersenyum wahai bidadari kecil. Doa rakyat Malaysia akan sentiasa bersamamu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!