Tunggakan gaji pekerja Pusat Hemodialisis Mawar selesai
SEREMBAN - Krisis pekerja Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) yang tidak dibayar gaji hampir empat bulan lalu akibat Hospital Mawar ditutup kini menemui jalan penyelesaian.
Matrix Concepts Holding Berhad telah memperuntukkan RM2 juta bagi membantu PHM membayar gaji pekerjanya yang tertunggak.
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Lee Tian Hock berkata, seramai 256 pekerja PHM tidak dibayar gaji sejak Februari lalu selepas lesen operasi Hospital Mawar itu ditarik dan disita oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 14 Februari 2019.
Menurutnya, beliau diminta untuk membantu pekerja PHM terutamanya urusan pembayaran gaji yang telah tertangguh, dan diatas dasar kemanusiaan beliau bersetuju membantu PHM dengan memberi pinjaman sebanyak RM1.8 juta untuk membayar gaji pekerja manakala sebanyak RM400,000 lagi dikeluarkan oleh Hospital Perubatan NSC (NSCMH) diberikan kepada 11 cawangan PHM yang kini beroperasi di bawah NSCMH.
“Dua minggu sebelum Hari Raya, saya telah didatangi oleh beberapa pihak yang meminta supaya membantu PHM, namun setelah meneliti segala dokumen PHM, saya dapati masalah gaji pekerja yang tertunggak perlu diselesaikan segera.
“Oleh demikian saya melalui Matrix Concepts telah memberikan peruntukkan sebanyak RM1.8 juta kepada PHM untuk membayar gaji pekerja mereka yang tertunggak sejak tiga bulan lalu, dan dijangka pada Khamis ini semua pekerja akan mendapat gaji mereka tidak lama lagi manakala bagi gaji bulan Jun akan masuk ke akaun masing-masing pada penghujung bulan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Mawar dekat sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Mawar Medical Centre (MMC), Datin Chua Lay Ping dan Naib Presiden NSCMH, Datuk Hon Choon Kim.
Dalam pada itu Tian Hock memberitahu, pada 14 Jun lalu, pihaknya telah memperolehi saham sebanyak 51 peratus dalam syarikat Sendi Hartamas Sdn Bhd (SHSB), yang mana syarikat tersebut merupakan organisasi yang akan mengendalikan pengoperasian Hospital Mawar.
Katanya, syarikat tersebut kini sedang menunggu proses untuk mendapatkan lesen pengoperasian semula sebelum kembali menjalankan rawatan hemodialisis kepada masyarakat di negeri ini.
Tambahnya, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan surat sokongan daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi membolehkan sewaan tapak tanah yang dimiliki oleh kerajaan persekutuan itu diteruskan kepada PHM, yang merupakan syarat utama yang perlu ada sebelum lesen operasi dari KKM diperolehi.
“Kita dimaklumkan PTP akan membuat maklum balas dalam tempoh dua minggu, dan kita berharap tiada sebarang masalah mengenai perkara tersebut bagi membolehkan MMC mendapatkan semula lesen operasi,” katanya.
Untuk rekod kedua-dua PHM dan NSCMH dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan dipantau KKM.
Terdahulu, KKM menutup operasi Pusat Perubatan Mawar setelah mendapati pusat perubatan itu gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi, sebelum disita pada 14 Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil dengan waran selepas penguatkuasaan dijalankan di pusat perubatan tersebut.
Lesen Mawar Medical Centre dibatalkan pada 14 Disember tahun lalu, kerana Mawar Medical Centre juga didapati gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk memastikan semua pesakit dialisis daripada Mawar Medical Centre mendapat rawatan selanjutnya di hospital swasta atau pusat hemodialisis swasta lain yang berlesen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!