Tok Gajah lebih berhak untuk menang
SKUAD Pahang lebih berhak untuk menang ke atas PKNP FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi, kerana berjaya menguasai permainan sepanjang 90 minit perlawanan.
Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata pasukan kendaliannya beraksi dengan mantap dan mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol sebelum perlawanan itu berkesudahan dengan jaringan 2-0.
"Alhamdulillah kita berjaya dapat tiga mata selepas mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan.
"Corak permainan Pahang malam ini (tadi) amat baik... walaupun kita tidak dapat menambah gol pada separuh masa kedua, tetapi kita menguasai keseluruhan permainan.
"Kita juga berjaya mencipta banyak ruang untuk menghasilkan gol namun di sini kita lihat penjaga gol PKNP FC lebih menyerlah," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, pemain import Tok Gajah dari Namibia, Lazarus Kaimbi membuka jaringan pertama pada minit ke-21 sebelum Dickson Nwakaeme melebarkan jaringan dengan gol kedua pada minit ke-30. Bagaimanapun, Dollah mengakui terpaksa mengeluarkan Kaimbi atas faktor keletihan walaupun kombinasinya dengan Nwakaeme disifatkan sebagai ‘begitu menjadi’.
"Mungkin disebabkan dia sudah tidak lama bermain bola sepak iaitu setahun dan di situ ada kekurangan dari aspek kecergasannya. Saya percaya dengan kerajinannya dalam latihan, dia boleh tingkatkan prestasi untuk perlawanan akan datang," katanya.
Sementara itu, pengendali PKNP FC Abu Bakar Fadzim berkata persembahan anak buahnya berada di bawah prestasi sebenar selepas mereka bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lepas, manakala Pahang menurunkan kesebelasan utamanya.
"Pemain Pahang pada malam ini banyak mengucar-ngacirkan pertahanan kami, selain faktor kami yang dilihat agak leka dan kurang disiplin menghukum kami dengan kekalahan ini...hanya pada separuh masa kedua kita berjaya menyerap serangan,” katanya.
Abu Bakar menyatakan beliau kini memandang ke hadapan untuk menghadapi lima perlawanan yang menentukan nasib pasukannya dalam Liga Super, bagi mengelakkan penyingkiran ke Liga Premier. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!