Peruntuk RM800,000 untuk 40 projek bawah Parlimen Rasah

Cha Kee Chin (tiga dari kiri) berbual dengan Nur Fairudzaini semasa melawat SK Ulu Labu semalam.
Cha Kee Chin (tiga dari kiri) berbual dengan Nur Fairudzaini semasa melawat SK Ulu Labu semalam.
A
A
A

RASAH – Sebanyak RM800,000 telah diperuntukkan kepada 40 projek di bawah Parlimen Rasah sejak awal tahun ini.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada masyarakat termasuk pihak sekolah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang meminta peruntukkan untuk mereka menjalankan kerja-kerja baik pulih di kawasan masing-masing.

Katanya, setiap permohonan yang diluluskan menerima peruntukkan sekurang-kurangnya RM20,000 yang diluluskan oleh unit berkaitan di peringkat Persekutuan.

“Setiap permohonan yang dibuat saya akan teliti dan melihat kepada keutamaan yang perlu disegerakan terutamanya melibatkan kepentingan serta kebajikan masyarakat setempat.

“Selain itu, saya juga sering memberi keutamaan bantuan kepada institusi pendidikan, dari sekolah rendah, menengah mahu pun tadika, yang mana saya merasakan itu adalah keperluan serta tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen kawasan ini untuk membantu sedaya yang boleh.

“Daripada 40 projek, enam untuk sekolah tadika dan 20 bantuan diberikan kepada projek sekolah, misalnya buat kerja penyelenggaraan, baik pulih dan lain-lain hal yang dirasakan keperluan yang perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat projek membaikpulih pagar Sekolah Kebangsaan Ulu Labu di Batu 8 dekat sini semalam.

Hadir sama, Guru Besar, Nur Fairudzaini Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kee Chin, sebanyak RM20,000 telah diberikan kepada sekolah tersebut untuk melaksanakan kerja-kerja membaiki pagar sekolah yang telah rosak sejak sekian lama.

Katanya, keperluan itu penting demi keselamatan anak-anak yang bersekolah di sekolah tersebut agar bebas daripada gangguan haiwan liar terutama anjing yang kerap memasuki kawasan sekolah.

“Ini bukan bantuan terakhir, saya menjangkakan bulan Ogos nanti sekolah ini (SK Ulu Labu) akan menerima bantuan yang seterusnya, bagi membantu mereka menjalankan kerja-kerja penyelengaraan memandangkan usia sekolah ini sudah melebihi 120 tahun.

“Ada banyak sudut bangunan yang perlu diperbaiki, kita akan membantu sekolah ini secara berterusan dan secara berperingkat kita akan baik pulih sekolah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Fairudzaini berkata pihaknya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Rasah yang banyak membantu sekolah tersebut dari segi penyelenggaraan dan baik pulih.

Katanya, projek baik pulih yang membabitkan pembinaan pagar sekolah sepanjang 90 meter itu, bermula pada 15 Jun lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

“Kita berharap pembinaan pagar jaring ini dapat mengatasi masalah anjing liar yang sering masuk ke kawasan sekolah, kita mempunyai 421 murid dan berharap masalah ini dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!