Pecah amanah: Bekas juruwang BSN dipenjara tiga tahun, tiga sebatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas juruwang Bank Simpanan Nasional (BSN) dipenjara tiga tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah RM248,050 dengan membuat penebusan Sijil Simpanan Premium milik pelanggan bank itu termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Shafiq Izuddin Ibrahim, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Setelah mahkamah mendengar hujahan dan menimbangkan segala keterangan serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat pihak pembelaan telah gagal menimbulkan apa-apa keraguan munasabah serta mematahkan hujahan pihak pendakwaan,” katanya.

Ahmad Kamal Arifin memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.

Shafiq Izuddin didakwa sebagai juruwang yang diamanahkan dengan penguasaan harta bank BSN iaitu RM248,050 dalam urusan tertuduh sebagai pekerja bank itu telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat penebusan Sijil Simpanan Premium milik pelanggan BSN.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSN, cawangan Putrajaya, Presint 2, Putrajaya antara 2 Ogos dan 2 Oktober 2012 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah perbuatan terkutuk dan serius.

“Tertuduh telah menodai kepercayaan pihak bank dengan melakukan perbuatan itu. Kes ini juga telah melibatkan orang kenamaan iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf yang masing-masing memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Shafiq Izuddin yang diwakili peguam Zamri Ibrahim merayu supaya diberi jaminan bon berkelakuan baik dan bercagar selama tiga tahun kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Anak guam saya mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih kecil serta menjaga ibu yang uzur. Ini kesalahan kali pertamanya dan dia tiada rekod jenayah lampau. Anak guam saya telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan ini,” katanya.

Sepanjang perbicaraan bermula 19 Februari 2018 seramai 16 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!